ZAMANI antara tonggak konsert itu.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


ENTAH di mana silapnya, sambutan penonton terhadap Konsert The Legend 40 Tahun Rosli Mohalim yang berlangsung di Panggung Asia, Gombak baru-baru ini, amat mengecewakan.

Biarpun menampilkan tujuh penyanyi iaitu Zamani Slam, Yabang Khalifah, Mus, Ameng Spring, Yazz Abdullah, Ammy Fara dan Zetty Rashid, konsert anjuran Semangat Zaman Muzik dengan sokongan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) bertujuan menghargai serta mengenang jasa pemain gitar utama kumpulan rock terkenal Sweet Charity itu seakan-akan dipandang sepi oleh peminat.

Mungkin faktor tarikh dan masa tidak sesuai, harga tiket mahal serta lokasi yang kurang strategik menjadikan konsert itu tidak mendapat sambutan.

ROSLI bersama barisan penyanyi dan penganjur.

Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan persembahan semua artis terbabit.

Mereka cukup profesional apabila tetap menampilkan persembahan hebat sekali gus menghiburkan peminat yang hadir.

Dengan setiap persembahan diiringi petikan gitar Rosli Mohalim, barisan artis itu bersilih ganti naik pentas menyanyikan lagu popular Sweet Charity antaranya Teratai, Kamelia, Sejuta Wajah, Jangan Tunggu Lama-Lama, Aku Ingin Berkata dan Mawar Merah.

Sudah tentu persembahan daripada otai rock iaitu Mus, Ameng, Zamani Yabang dan Zamani menjadi tonggak kekuatan konsert itu.

Mus menyanyikan lagu Terharu dan Penunggu, manakala Ameng pula Jangan Tunggu Lama-Lama serta Di Manakah Salahku.

Yabang pula menghiburkan peminat dengan lagu Zakia dan Satu Malam. Zamani yang diletakkan sebagai penyanyi terakhir menyampaikan lagu Kembali Merindu dan Sejuta Wajah.

Zamani mampu menyanyikan lagu itu dengan baik mengikut caranya sendiri. Tidak ketinggalan, dia turut menyampaikan lagu Aku Ingin Berkata yang dimuatkan dalam album khas Rosli Mohalim.

Persembahan diakhiri dengan nyanyian semua artis mendendangkan lagu Kamelia.

Tidak dinafikan sekelompok kecil peminat puas dengan apa yang disajikan, namun alangkah bagusnya jika tempat itu diisi dengan ramai khalayak bagi menunjukkan tanda sokongan terhadap industri nyanyian tanah air.

Bagaimanapun, konsert itu tetap meninggalkan kenangan bermakna buat semua yang hadir dan terbabit terutama Rosli.

Ditemui selepas konsert berakhir, Rosli mengakui tidak kecewa dengan apa yang berlaku.

“Pertama, saya bersyukur kerana walaupun sudah berusia lebih 60 tahun, masih diberikan kesihatan yang baik oleh Allah untuk beraksi di atas pentas.

PETIKAN gitar Rosli masih berbisa.

“Saya menerima kenyataan zaman gemilang Sweet Charity amat berbeza daripada sekarang.

“Alhamdulillah, peminat tegar saya tetap datang menyokong dan ini sesuatu yang baik. Harapnya mereka akan terus menyokong persembahan pada masa akan datang,” katanya.

Pemilik Semangat Zaman Muzik, Jean Lau berkata, pihaknya sudah melakukan pelbagai bentuk promosi dan tidak menyalahkan mana-mana pihak terhadap kegagalan itu.

“Promosi banyak dibuat dalam portal kerana kita pun sudah tiada banyak akhbar sekarang. Barisan artis kuat, tetapi masih gagal untuk tarik peminat.

“Saya sendiri sukar memberikan jawapan. Mungkin antara penyebab kegagalan ialah terlalu banyak konsert percuma diadakan sebelum ini.

“Kami tak mampu buat begitu dan cuba letakkan harga tiket yang rendah untuk konsert ini. Artis pun perlu cari makan. Kalau percuma, siapa nak bayar mereka?,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 5:00 AM