AYOB mahu Hans terus menerajui Finas. FOTO/NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


KONSORTIUM Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama) berharap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac terus menerajui badan itu.

Pengerusinya, Ayob Abd Majid berkata, walaupun enam persatuan artis mendesak mereka meletak jawatan, baru-baru ini, pihaknya terus memberi sokongan.

Katanya, kepimpinan baharu Finas diharap membawa perubahan dalam membangunkan industri kreatif tempatan selain membantu industri muzik tanah air.

“Walaupun dilihat lebih memperjuangkan penghasilan filem, kami berharap industri muzik dapat diberikan perhatian. Jika diperhatikan muzik lebih membawakan keuntungan dan diminati lebih ramai," katanya.

Berhubung desakan peletakan jawatan itu, Ayob berkata, hanya enam persatuan tidak mencukupi sedangkan ramai anak seni mengharapkan Hans membawa wajah baru dalam memperjuangkan industri seni tanah air.

"Selaku pengerusi Irama, saya berharap Gobind dapat memberi fokus pada muzik kerana ia membawa pulangan yang besar kepada negara," katanya.

Dalam pada itu, Ayob turut berharap penubuhan perbadanan muzik dapat dipercepatkan susulan perkembangan dunia digital.

"Perbadanan ini penting bagi mengawal selia dan membantu anak seni memperjuangkan hasil karya ke arah digital," katanya.

Harian Metro baru-baru ini melaporkan enam persatuan artis mendesak Gobind dan Hans meletakkan jawatan susulan pemendekan tempoh perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri sehingga 10 Mac tahun hadapan.

Terdahulu, khabar angin mengatakan berlaku pergolakan dalam pentadbiran agensi itu sebaik Ahmad Idham dikatakan direhatkan daripada jawatan berkenaan.

Tidak lama kemudian, Finas dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya meluluskan permohonan pengarah filem itu untuk memendekkan tempoh perkhidmatan yang sepatutnya digalas sehingga 10 Mei 2021.

Hans pada sidang media, baru-baru ini menegaskan tidak tunduk dengan gesaan melepaskan jawatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 5:18 PM