HM Digital

FILEM keempat yang juga filem terakhir Ip Man berjudul Ip Man 4: The Finale bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 20 Disember ini.

Masih lagi mengekalkan bintang utamanya iaitu Donnie Yen yang memegang peranan sebagai Ip Man, filem keempat arahan Wilson Yip ini nyata bakal memberikan impak berbeza.

Secara ringkasnya, Ip Man 4: The Finale mengisahkan Ip Man bersama komuniti Cina yang menetap di Amerika Syarikat berjuang untuk mendapatkan tempat sebagai penduduk.


Mereka juga terpaksa berdepan situasi di mana ada pihak yang sengaja menyemarakkan api perkauman untuk menentang mereka.

Pada masa sama, komuniti Cina ini mahu mempertahankan legasi seni bela diri kung fu yang diperturunkan sejak beberapa generasi.

Filem Ip Man 4: The Finale sarat dengan aksi dan pada masa sama membuai jiwa penonton dengan beberapa babak drama yang benar-benar menyentuh emosi.


Bercakap mengenai perkembangan karakter Ip Man, dia semakin berusia dan mula berfikir mengenai apa yang sepatutnya dilakukan sebagai guru kung fu, bapa dan juga anggota komuniti.

Pergerakan dari satu babak ke satu babak juga tidak meleret malah penonton tak perlu menunggu lama untuk menantikan babak aksi.

Banyak mesej yang diterapkan menerusi filem Ip Man 4: The Finale termasuklah isu perkauman, budaya dan kekeluargaan.

FILEM: Ip Man 4: The Finale

ARAHAN: Wilson Yip

PELAKON: Donnie Yen, Danny Chan, Vanness Wu, Wu Yue dan Scott Adkins

GENRE: Aksi biografi

TAYANGAN: 20 Disember 2019

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 5:10 AM