SHAZA (tengah) di nobatkan sebagai Dewi Remaja 2019 pada pusingan akhir Pencarian Dewi Remaja 2019. FOTO Salhani Ibrahim
Syafil Syazwan Jefri


SHAZA Bae diumumkan sebagai Dewi Remaja 2019 di pentas akhir program Pencarian Dewi Remaja 2019 yang berakhir malam tadi.

Shaza, 24, berkata, dia kagum dengan semua peserta musim ini yang dianggap memiliki pengetahuan tinggi.

"Semua peserta dalam edisi kali ini punya pengetahuan am yang tinggi atau dalam kata lain, 'beauty with brain'.

"Saya masih lagi terkejut dan dengan rasa rendah diri tak menjangkakan kemenangan ini," katanya.

Shaza yang berasal dari Kuala Lumpur berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000 berserta trofi dan selempang.

Tempat kedua dimenangi Adriana Ghafar, 21, dari Johor dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi dan selempang.

Peserta dari Selangor, Nynaa Harizal berada di tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi dan selempang.

Sementara itu, dua lagi peserta akhir iaitu Syamira Izzati dan Shatirah Amanda hanya mampu berpuas hati di tempat keempat kelima.

Masing-masing berjaya membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta trofi dan selempang.

Selain lima peserta akhir, dua lagi peserta iaitu Nina Amin dan Sharlina Gilbert masing-masing diumumkan sebagai pemenang anugerah Dewi Inspirasi dan Dewi Kegemaran (Favourite).

Format pemarkahan adalah berdasarkan 30 peratus daripada markah terkumpul tugasan di episod 2 hingga episod 7 dan 70 peratus berdasarkan persembahan kesemua peserta di pentas akhir.

Juri tetap program Pencarian Dewi Remaja 2019 ialah Scha Al-Yahya dan Yusry Abdul Halim di samping dua juri jemputan iaitu Datuk Aznil Nawawi dan Dr Soo Wincci.

Pentas akhir Pencarian Dewi Remaja 2019 diacarakan Amelia Henderson dan Kamal Adli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 8:41 AM