BARISAN finalis GV 6.
Sudirman Mohd Tahir


JURI tetap program Gegar Vaganza musim keenam (GV 6), Datuk Ramli MS menyifatkan empat peserta teratas sudah dijangka layak ke akhir berdasarkan persembahan mereka pada separuh akhir GV 6 kelmarin.

Empat finalis itu ialah Hady Mirza, Naqiu Boboy, One Nation Emcees dan Nurfatima.

“Peserta top 4 sudah boleh diteka kedudukan mereka, manakala empat lagi agak mengecewakan.

“Ini kerana sewaktu sesi latihan mereka bagus, tapi apabila malam persembahan, saya tak gembira, terutama yang empat ke bawah.

“Mereka tak ‘perform’. Saya tak pasti kenapa. Mungkin tekanan nak masuk ke peringkat akhir,” katanya.

Secara keseluruhan, Ramli yang juga juri program itu sejak musim pertama mahu finalis mempunyai keyakinan diri ketika membuat persembahan.

“Kelemahan yang perlu dibaiki adalah keyakinan diri. Saya pengarah muzik untuk program ini. Ketika sesi latihan pada Jumaat, semua diperbaiki.

“Jadi, saya tahu di mana tahap kebagusan semasa latihan dan malam pesembahan tapi kebanyakannya sampai persembahan hilang dan tak konsisten.

“Saya memperbaiki yang tak betul. Sebab idea muzik dan gubahan muzik daripada mereka. Kalau lebih kepada eksperimen memang tak boleh.

RAMLI MS

“Sebab orang kita nak dengar yang sedap. Kami pantau yang tak boleh pakai. Kalau kurang, kita nasihat. Tapi ada juga yang degil,” katanya.

Sementara itu, Hady yang memperoleh markah tertinggi, 82 peratus menyifatkan pentas akhir yang bakal berlangsung Ahad depan adalah sengit.

“Walaupun kurang sihat, saya cuba memberikan persembahan terbaik. Alhamdulillah, saya berjaya meyakinkan juri.

“Apa boleh dikatakan, lima finalis lain mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri. Ia boleh dilihat pada persembahan mingguan mereka.

“Jadi, pada pentas akhir ini apa saja boleh berlaku. Semua layak bergelar juara. Apa-apa pun saya cuba buat sehabis baik,” katanya yang bakal menyanyikan lagu Ku Bersuara nyanyian asal Ernie Zakri.

Bagi penyanyi, Wann yang diumum tersingkir dengan markah 57 peratus, itu bukanlah penamat kepada kerjayanya.

“Selepas ini saya macam biasa, masih ada tawaran persembahan. Dalam GV ini saya mencuba nasib sebab sudah lama tak masuk TV.

“GV adalah platform saya membuat kemunculan semula. Terima kasih kepada Astro yang memilih saya menyertai keluarga GV.

“Pastinya apa yang dirindukan selepas ini antaranya teguran daripada Tok Ram. Terima kasih juga kepada rakan media yang sentiasa memberi sokongan walaupun saya dua kali berada tempat terbawah,” katanya.

Selain Wann, Noorshila Amin yang memperoleh markah 52 peratus turut tersingkir.

Hady berada di kedudukan pertama dengan perolehan markah 82 peratus, Naqiu Boboy (77 peratus), One Nation Emcees (71 peratus), Nurfatima (67 peratus), Jatt (61 peratus) dan Sham Visa (60).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 5:10 AM