ELLY disarungkan cincin pertunangan oleh ibu Azlan. FOTO Rosela Ismail
ELLY disarungkan cincin pertunangan oleh ibu Azlan. FOTO Rosela Ismail
Sudirman Mohd Tahir

SELEPAS hampir setahun berkenalan dengan Mohamad Azlan, 29, penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein akhirnya selamat bertunang dengan guru Geografi itu pada 17 Disember lalu.

Elly, 39, atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, sejak menjalin hubungan dengan Azlan, dia berasakan dirinya wanita paling bahagia.

Apa yang menggembirakan pengacara program Mentor Milenia itu ialah anaknya, Putri Sara Sefhia sudah menganggap Azlan seperti bapa kandungnya sendiri.

“Sefhia panggil Azlan papa. Hubungan mereka sangat rapat dan tak kekok langsung. Mungkin sebab Sefhia membesar dengan Azlan.

“Dia juga mulai faham Azlan lelaki yang sentiasa ada di sisinya. Sebab itu dia sudah anggap seperti bapa sendiri.

“Dia juga manja dengan Azlan. Jika keluar bersama, dia nak berdukung saja. Melihatkan situasi itu membuatkan saya sangat gembira. Begitu juga dengan abah saya yang menyifatkan Azlan seorang yang sangat ambil berat.

“Apa boleh dikatakan, aturan Allah sangat cantik. Dia beri kami rasa semua perkara ini ketika kami tidak melaluinya,” katanya.

Bukan itu saja, Elly pelakon Kampung People yang ditayangkan di TV3 berkata, bakal keluarga mentuanya sangat menyayangi dirinya.

“Apa yang Azlan buat selama ini membuatkan saya berasa diri sangat disayangi dan dihargai. Tidak menjangka dapat bakal mentua yang baik. Mereka juga sangat memahami dan memberikan sokongan kepada kami,” katanya.

BERSAMA ahli keluarga. FOTO Rosela Ismail
BERSAMA ahli keluarga. FOTO Rosela Ismail

Dapat hadiah pangsapuri

Belum pun berkahwin, Elly bersyukur apabila bakal suaminya sudah menyediakan pangsapuri untuk mereka.

“Menangis saya dibuatnya apabila tunang hadiahkan rumah. Saya tidak menjangka dia buat sedemikian.

“Saya terharu dengan usaha yang ditunjukkan kerana sanggup menyediakan rumah untuk saya. Saya tak minta banglo atau ‘penthouse’ pun, cukup rumah untuk kami berlindung.

“Dia rasakan itu tanggungjawab sebagai bakal ketua keluarga. Dia pandai menjaga hati anak dan abah saya. Apa yang saya harapkan daripadanya adalah kesetiaan dan menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya,” katanya.

Menurut Elly, Azlan juga memberikan wang untuk membeli barangan hantaran.

“Memang wang itu penting tapi semampunya. Itu pun saya tak pernah minta, tapi dia berikan sendiri. Bukan saya nak berjuta-juta pun. Apa yang penting saya dapat lihat usahanya. Itu yang membuatkan saya terharu,” katanya.

Terdahulu, Elly diraikan pada majlis merisik pada 19 Oktober lalu.

Pasangan itu berkenalan pada Ogos tahun lalu sebelum serius awal tahun ini.

Elly pernah berkahwin dengan pengarah, Azmi Hatta pada 9 November 2014, namun bercerai pada 15 Oktober 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 6:40 AM