ACHEY berharap lagu Sakit dapat diterima baik sekali gus mesej yang ingin disampaikan berjaya difahami. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
ACHEY berharap lagu Sakit dapat diterima baik sekali gus mesej yang ingin disampaikan berjaya difahami. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Sudirman Mohd Tahir


KURANG 24 jam dilancarkan, lagu dan muzik video (MV) Sakit nyanyian Achey menduduki tangga keempat di carta trending di YouTube.

Menariknya juga, Sakit yang dilancarkan secara rasmi pada Jumaat lalu sudah mencecah lebih 700,000 tontonan.

Achey, 33, atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah berkata, melodi, mesej dan jalan cerita yang ditampilkan menjadi kelebihan kepada lagu ciptaan bersama rakannya, Shuk Aziz itu.

“Saya tidak mahu bersaing dengan penyanyi lain. Saya menyanyi tak sehebat mereka, tapi nak lagu ini orang faham dan boleh terima melodi serta lirik.

“Kefahaman terhadap lagu ini lebih penting. Ini untuk diri saya. Tapi, untuk penyanyi profesional, memang saya rasa perlukan vokal dan penghayatan.

“Pada saya, hanya ada penghayatan, vokal tidak seberapa. Saya gunakan apa kelebihan yang ada. Saya nak maksud dan mesej lagu ini sampai pada pendengar. Saya ada karektor tersendiri terhadap lagu ini,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia berharap lagu itu dapat diterima baik sekali gus mesej yang ingin disampaikan berjaya difahami.

“Saya nak lagu ini meletup dan diterima ramai. Saya harap ramai yang ‘cover’ lagu ini sebab suka tengok orang yang ‘cover’ lagu saya sebelum ini.

“Bagi remaja, saya percaya mereka suka ’cover’. Saya tak harap sampai ke peringkat Anugerah Juara Lagu, sebab sedar kemampuan.

“Cuma, kalau diterima ramai dan disokong untuk menjadikan lagu ini dalam kelompok itu saya berbesar hati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 5:45 PM