RUHAINIES tidak akan buat keputusan nak berkahwin hanya disebabkan termakan desakan dan sindiran daripada orang luar. FOTO Mustaffa Kamal
RUHAINIES tidak akan buat keputusan nak berkahwin hanya disebabkan termakan desakan dan sindiran daripada orang luar. FOTO Mustaffa Kamal
Norhayati Nordin


PELAKON jelita, Ruhainies, 27, tidak sedikit pun terkesan dengan sindiran segelintir warganet yang mempersoalkan bila dia mahu berkahwin.

Apatah lagi, Ruhainies dilihat sering berkongsi ceritera indah percintaannya bersama kekasih dikenali sebagai ‘Mr E’ di Instagram (IG).

Mengulas sindiran terhadapnya apabila ada beberapa selebriti terus berkahwin tanpa terlalu mencanang percintaan mereka, Ruhainies berkata, soal jodoh ketentuan Allah.

"Untuk saya, buat masa ini masih dalam perbincangan ke arah perkahwinan dan belum ada kata putus.

"Apatah lagi, saya ada kakak iaitu Nur Risteena yang mungkin akan berkahwin dahulu kerana sudah bertunang," katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, dia juga memiliki pendirian tegas berhubung soal perkahwinan.

"Saya yakin setiap orang memiliki pendirian tersendiri. Begitu juga dengan saya, kalau nak kahwin biarlah bila sampai jodohnya.

"Terus-terang, saya tidak akan buat keputusan nak berkahwin hanya disebabkan termakan desakan dan sindiran daripada orang luar.

"Kalau ada warganet yang berterusan nak mengata, saya tak ambil peduli pun selagi mereka tidak mencalar maruah saya dan keluarga," katanya.

Mengakui dirinya sering menjadi perhatian media kerana cerita peribadi, Ruhainies berkata, dia berkongsi apabila ditanya.

"Saya seorang yang positif dan pasti menjawab apa saja ditanyakan media meskipun ia kisah percintaan.

"Bagi saya, selagi apa yang dituliskan itu tidak keterlaluan sewajarnya untuk saya memberi kerjasama," katanya.

Masih sibuk dengan aktiviti lakonannya, Ruhainies berkata, dia bersyukur tawaran berlakon tidak putus diterima.

Katanya, dia akan terbabit dengan penggambaran filem adaptasi novel berjudul Seandainya Kau Ada bersama Mira Filzah, Fendy Bakry dan Aidit Noh.

"Apapun, sekarang saya terbabit dengan penggambaran drama 18 episod untuk slot Samarinda TV3 berjudul Maaf Tak Indah," katanya.

Mengulas rakan pelakon lain yang bekerjasama dengannya, Ruhainies berkata, mereka ialah Azlee Khairi, Azar Azmi, Fizo Omar dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 6:48 PM