X
10 artis tempa kecemerlangan karier mahupun terpalit kontroversi sepanjang tahun ini
10 artis tempa kecemerlangan karier mahupun terpalit kontroversi sepanjang tahun ini
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


MENJENGAH tahun baharu 2020, industri seni tanah air tidak terkecuali apabila diwarnai dengan pelbagai kisah suka dan duka. Selain terpalit dengan kontroversi, kejayaan dan populariti seseorang artis pastinya menjadi perbualan peminat.

Untuk mempertahankan populariti dan berada di kemuncak kejayaan, ia bukan perkara yang mudah kerana artis itu perlu bekerja keras bagi memastikan karier mereka terus bertahan.

Pada minggu ini, kami bawakan barisan artis tanah air yang berada di puncak populariti sepanjang tahun ini, baik menerusi kecemerlangan karier mahupun kontroversi yang dicetuskan.

MIRA Filzah
MIRA Filzah

1. Mira Filzah

Mira Filzah boleh menganggap bahawa 2019 adalah tahun paling cemerlang sepanjang bergelar pelakon. Manakan tidak, rezekinya sentiasa dimurahkan Allah apabila produk lakonan mendapat sambutan antaranya drama Pujaan Hati Kanda yang meraih tontonan 30 juta di YouTube.

Selain itu, drama Sweet Dreams menjadi fenomena dan filem Sangkar meraih kutipan RM12 juta, kurang sebulan ditayangkan di pawagam. Malah, Mira turut diberi pelbagai pengiktirafan terutama Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32 (ABPBH32).

Di samping lakonan, Mira juga menjadi pengacara Nona di TV3 dengan penarafan rancangan itu meningkat. Tidak terhenti setakat itu, pelakon kesayangan ramai itu dilantik sebagai duta tudung bagi beberapa produk popular. Mira turut mengorak langkah dengan melancarkan produk kesihatan dan kecantikan sendiri.

JANNA Nick
JANNA Nick

2. Janna Nick

Anak jati Sungai Petani, Kedah ini dikatakan antara pelakon yang menjadi rebutan pengarah filem dan drama dengan menerima bayaran sangat lumayan. Selain bergelar pelakon, dia juga mengacara rancangan Melodi di TV3 dan menyanyi.

Mula dikenali menerusi drama Syurga Nur, Kau Aku Kita dan My Coffee Prince, Janna mengorak langkah sebagai pelakon teater dalam pementasan Pawana Isabella dan Siti Di Alam Fantasi.

Bukan setakat itu, Janna juga memenangi Artis Versatil Popular pada ABPBH32 berdasarkan bakat lakonan, menyanyi dan mengacara.

SYAFIQ Kyle
SYAFIQ Kyle

3. Syafiq Kyle

Berdasarkan perbualan peminat, Syafiq diakui sebagai pelakon lelaki paling berjaya untuk tahun ini. Selain muncul dalam pelbagai drama dan filem, anak jati Kuala Lumpur berusia 27 tahun ini memenangi Pelakon TV Popular ABPBH32.

Dia yang turut merangkul tiga Anugerah MeleTOP menjadi rebutan pengarah drama dan filem, dengan mengakhiri kejayaan tahun ini menerusi kutipan filem pecah panggung, Pusaka sebanyak RM13 juta.

Syafiq juga mempelbagaikan bakat apabila menjengah dalam lakonan teater Pawana Isabella bersama Janna Nick yang memberi impak dan sambutan pelakon di Istana Budaya pada 13 hingga 19 September lalu.

ZUL Ariffin
ZUL Ariffin

4. Zul Ariffin

Di sebalik kontroversi berpelukan di pantai bersama Intan Najuwa dan penyebaran video bogel, tidak dinafikan Zul Ariffin sentiasa meniti di bibir peminat. Diakui pelakon berbadan sasa itu mengiringi kejayaan kariernya bersama kontroversi yang dicetuskan.

Bergerak aktif sebagai pelakon pembantu pada 2008 menerusi drama Awan Dania, Zul Ariffin dilihat menerajui banyak watak utama dalam filem Sangkar dan Misteri Dilaila serta drama Setelah Kau Dimiliki pada tahun ini.

Kejayaan lain dikecapi Zul adalah menjadi jurucakap bagi produk minuman serta duta untuk produk makanan kesihatan.

SHAM Visa
SHAM Visa

5. Sham Visa

Sekian lama menyepi, akhirnya Sham Visa muncul di khalayak ramai dengan imej ala Tony Stark dilakonkan Robert Downey Jr dalam filem adiwira Iron Man.

Bagi pemilik nama sebenar, Rohisham Hashim berusia 48 tahun itu, kemunculan dalam program realiti Gegar Vaganza musim keenam (GV6) mendapat reaksi menggalakkan daripada peminat.

Biarpun mendapat tempat keenam dalam rancangan itu, Sham terus mengorak langkah untuk membina semula namanya dalam industri nyanyian.

NAQIU Boboy
NAQIU Boboy

6. Naqiu Boboy

Popular sekitar era 1999 hingga 2001 bersama kumpulan Boboy, nama Naqiu akhirnya tenggelam pada 2007. Hampir 12 tahun dilupakan peminat, Naqiu akhirnya muncul semula pada pentas Gegar Vaganza musim 2019.

Kehadiran semula penyanyi berimej baharu itu dilihat memiliki aura yang hebat hinggakan dia menerima sambutan baik daripada peminatnya.

Naqiu dijangka menjadi juara Gegar Vaganza musim keenam (GV6) dan ia akhirnya direalisasikan pada pentas akhir bersama penyanyi dari Singapura, Hady Mirza.

NEELOFA
NEELOFA

7. Neelofa

Biarpun tidak lagi membintangi drama dan filem, nama Neelofa masih menjadi sebutan apabila terbabit bidang peragaan, pertunjukan fesyen di luar negara selain menjual produk minuman.

Gadis berusia 30 tahun dari Kelantan itu pada awal bulan ini mengejutkan peminat apabila mengundurkan diri sebagai pengacara rancangan hiburan, MeleTOP.

Malah, Neelofa juga terpalit kontroversi apabila pakar bedah, Dr Amelina Che Bakri menegur pelakon itu bahawa iklan produk minuman pisang keluarannya tidak mempunyai kandungan seperti yang diiklankan.

K CLIQUE
K CLIQUE

8. K Clique

Kumpulan hip hop ini secara tiba-tiba mendapat perhatian meluas daripada peminat muzik tempatan biarpun mereka sebelum ini dianggap asing buat sesetengah pihak.

Bertapak di Kota Kinabalu, Sabah, kumpulan ini dikatakan sebagai jelmaan Too Phat malah lagu yang dihasilkan mula diminati antaranya Lane Lain Line, Sah Tu Satu, Licik dan Warna.

Biarpun sebagai pendatang baharu, K Clique sudah berjaya mengumpulkan jutaan pengikut di Instagam selain video muzik mereka ditonton belasan juta hingga puluhan juta orang.

ZIZI Kirana
ZIZI Kirana

9. Zizi Kirana

Zizi yang juga bekas anggota The Fabulous Cats dikenali kerana imej seksi dengan bakatnya dikesan menerusi rancangan realiti Akademi Fantasia musim ketujuh.

Beberapa tahun kemudian, Zizi bergelar penyanyi solo dan menyertai Dangdut Academy Asia musim kedua.

Penyanyi ini memperjuangkan muzik dangdut, pop dan hip hop meniti populariti apabila banyak lagunya mendapat sambutan iaitu Boleh Jalan, Nak Ke Tak Nak Lepak Mamak, Rahsia Hati dan Dulu Pernah Kau Kata.

REMY Ishak
REMY Ishak

10. Remy Ishak

Biarpun berusia 37 tahun, Remy Ishak masih bertahan dalam dunia lakonan dan bersama Zul Ariffin menjayakan filem Sangkar pada tahun ini.

Dalam kalangan peminat, pelakon ini dianggap antara anak seni yang berjaya apabila membintangi puluhan drama, filem dan telefilem sejak 2005.

Menjengah tahun baharu 2020, rezeki buat pelakon ini berterusan apabila bakal muncul dengan filem terbarunya iaitu Proksi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 5:45 AM
Digital NSTP Subscribe