UNGKU ISMAIL AZIZ
UNGKU ISMAIL AZIZ
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON Ungku Ismail Aziz mengambil inisiatif mempromosikan drama terbaru lakonannya, Adellea Sofea yang kini ditayangkan menerusi slot Akasia TV3.

Waalaupun drama menggandingkannya dengan Mira Filzah itu sedang meletup, dia yang membawakan watak Alif Firdhaus tetap bertanggungjawab menghebahkannya kepada penonton.

“Saya tak rasa selesa apabila orang kata drama ini mudah diterima kerana gandingan dengan Mira. Untuk itu, saya buat publisiti 28 hari bersama Fir di Instagram di mana sepanjang penggambaran, saya rakam temubual bersama kru.

“Setiap kali selesai tayangan di tv, saya akan buat hantaran di Instagram untuk menunjukkan kepada penonton apa pendapat kru berkenaan cerita ini,” katanya.

Menurutnya, dia suka menghasilkan promosi yang belum pernah dilakukan orang lain dan strategi itu ternyata menjadi.

“Saya suka buat sesuatu promosi yang orang tak pernah buat dan bukan yang biasa dilakukan. Bukan niat menunjuk tapi saya nak bagi sesuatu yang berbeza. Biarlah orang kata pelik tapi saya rasa nak buat begini. Ternyata sambutan yang ditunjukkan peminat agak hebat,” katanya ketika ditemui pada sidang media teater Semarak Pertiwiku di Istana Budaya, Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas ‘trend’ segelintir pelakon yang berkira untuk mempromosi drama lakonan sendiri, Ungku Ismail berkata, ia terserah kepada diri masing-masing.

“Bagi saya kenapa nak berkira? Untuk saya, ia bukan masalah. Saya rasa bertanggungjawab untuk mempromosi hasil kerja sendiri.

“Saya dah bersusah payah bekerja, biarlah orang tengok hasilnya. Apa gunanya kita berlakon dan orang tak tengok. Kalau kena dibayar baru nak promosi, ia memang agak teruk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 7:11 PM