ELLY Mazlein. FOTO Mahzir Mat Isa


“TIADA sekelumit dendam atau terbit perasaan marah terhadap Janna," kata pelakon Elly Mazlein mengenai insiden panggilan janda yang diberikan pengacara, Janna Nick ketika mengendalikan program Melodi yang bersiaran secara langsung Ahad lalu.

Elly yang juga penyanyi dan pengacara berkata, apa yang diungkapkan Janna hanyalah sekadar gurauan kerana sudah lama mengenalinya.

"Janna sudah saya anggap seperti adik sendiri. Saya tahu apa yang dikatakan itu hanyalah sekadar gurauan semata-mata. Saya tak ambil hati pun. Lagipun dia sudah memohon maaf kepada saya sebaik program itu selesai," katanya.

Menurut Elly, dia berharap orang ramai tidak menghentam Janna atas keterlanjurannya menyebut panggilan janda, sebaliknya Elly menjelaskan dia berasa sedih untuk meninggalkan gelaran itu tidak lama lagi.

"Rasa sedih pula nak tinggalkan kehidupan sebagai ibu tunggal ini. Apabila sudah lama solo saya rasa seronok tapi urusan jodoh ini semua adalah kerja Tuhan.

"Walaupun sedih, hakikatnya saya juga teruja nak kembali menuju ke alam perkahwinan yang berbaki kurang 10 hari lagi. Doakan semoga urusan pernikahan dipermudahkan," katanya.

Ahad lalu, Janna mencetuskan kontroversi ketika mengacarakan program Melodi apabila ramai pihak kurang senang dengan perkataan janda yang digunakan terhadap Elly yang mengumumkan bakal berkahwin, tidak lama lagi.

Pelakon yang popular menerusi drama Syurga Nur itu tanpa sengaja bergurau mengeluarkan kenyataan: “Bila tengok Ezlynn ni, kita teringat Kak Lina Pom Pom (Elly) yang nak menamatkan zaman jandanya”, menyebabkan ramai mempertikai.

Akibat keterlanjurannya itu, Janna dikecam warganet yang menyifatkan dirinya sebagai tidak sensitif, bermulut jahat dan tidak menghormati Elly yang hadir sebagai tetamu undangan bersama-sama Rashidi Ishak, Riena Diana dan Kamarul Eqifshah bagi mempromosikan drama bersiri, Kampung People.

Justeru, apabila Elly membantu Janna yang terjatuh ketika mengendalikan program itu, warganet turut menganggap ia sebagai balasan di atas kelancangan mulutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 4:34 PM