PUTERI Balqis mengakui pernah tidak makan tiga hari bersama ibunya. FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Pelakon cilik terkenal, Puteri Balqis, 13, mengakui pernah tidak makan tiga hari bersama ibunya, Norashikin Mohd Aziz akibat kepayahan hidup dilalui.

Puteri Balqis yang juga pemenang Pelakon Wanita Terbaik (Drama) pada Anugerah Skrin 2014 berkongsi cerita sedih itu pada program Bersamamu yang ditayangkan di TV3, semalam.

“Kami pernah susah dan senang. Perubahan secara tiba-tiba itu indah sebenarnya. Tuhan tidak mahu kami lupa diri.

“Apabila sudah kaya boleh beli beg dan kasut mahal. Tapi, apabila tiba-tiba jatuh, jadi kami syukur dapat ujian begini. Kami tak lupa diri. Terima kasih wahai pencipta kami.

“Kami pernah terputus makan dalam dua ke tiga hari. Tapi, tak pernah sampai seminggu. Masih dapat makan walaupun sedikit untuk kami isi perut. Kalau terputus, kami ikat perut. Kami kena berjalan juga jual buku. Apabila sudah cukup dan dapat jual buku, dapatlah kami buat makan,” katanya.

Dalam program itu, dipaparkan bagaimana Puteri Balqis yang juga pelakon Akulah Balqis menjual buku ‘38 Poems Of Puteri Balqis’ hasil tulisannya di sekitar Masjid Jamek, Masjid India, Pasar Seni atau Jalan Petaling di ibu negara.

“Kalau tak banyak jualan hampa sikit. Tapi, tidak mengapa, ujian itu indah,” katanya.

Sementara itu, ibunya mengakui tidak berhubung dengan sesiapa kerana selesa hidup berdua dengan anaknya.

“Kami tidak berhubung lagi dengan sesiapa.Lebih kepada kami berdua. Sebab, manusia di dunia ujiannya berbeza.

“Jadi, kami lebih senang jika berdua saja dan hadapi berdua. Sebab Puteri pun lebih senang bercakap dengan saya. Jiwanya sensitif sangat,” katanya.

Dalam program itu, diceritakan kedua ibu bapa Puteri Balqis sudah bercerai sejak empat tahun lalu. Puteri Balqis memilih tinggal bersama ibunya dan melalui kehidupan susah senang bersama.

Malah, kehidupan makin terhimpit apabila kesihatan Balqis mula terganggu pada 2018.

Dua beranak itu juga pernah dihalau dari rumah lama kerana tidak mampu membayar sewa bulanan sebelum berpindah ke rumah sewa sekarang di Shah Alam.

Ibu Puteri Balqis terpaksa berjimat cermat dengan memanaskan lauk. Jika ada duit lebih, ibunya akan memasak lebih satu lauk dengan banyak dan simpan dalam peti sejuk.

Mereka juga mencatu lauk dengan membungkus mengikut hari bagi memudahkan dibawa jika keluar berniaga.

Nasib Puteri Balqis dan ibunya turut mendapat perhatian Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Dr Syed Hussian Aljunid.

“Media Prima juga prihatin dan ingin ambil tahu keadaan artis kita. Saya amat terkejut yang pada satu ketika dahulu Puteri Balqis begitu terkenal.

“Daripada apa saya lihat, Puteri Balqis dan ibunya ingin berdikari dan mahu cari nafkah sendiri. Jadi, di sinilah saya melihat MPB dapat membantu.

“Insya Allah, selepas ini kita akan buat perjumpaan dengan Pusat Zakat Selangor (PZS) dan jumpa penerbit buku. Kita akan bantu dari segi itu dan mempromosi. Saya ada baca buku puisi yang dihasilkan, memang bagus dan dia berbakat.Maknanya dia bagus dan boleh menulis,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Puteri Balqis memilih menulis puisi dan menjualnya di jalanan bagi menampung kehidupannya seharian.

Puteri Balqis bersama ibunya, berulang-alik dari rumah mereka di Setia Alam, Selangor ke beberapa lokasi di ibu negara untuk menjual buku puisi yang dihasilkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 4:10 PM