ARJA Lee kini sudah membuka Arja Art Academy. FOTO NSTP
Norhayati Nordin


PELAKON Arja Lee, 36, nekad tidak mahu terkait lagi dengan kontroversi yang boleh mencemarkan nama baik dan maruah keluarganya.

Arja yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Seni di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak berkata, dia perlu tampil dengan imej bersih selepas dikecam teruk berikutan video aksi dia menimang bola dengan memakai ‘boxer’ tular empat tahun lalu.

"Cukuplah dengan kesilapan itu. Sampai sekarang video itu masih ada di YouTube dan ia adalah aktiviti tidak berakal pernah saya lakukan gara-gara mahu mengumpul pengikut di media sosial," katanya.

Arja berkata, perkara itu banyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati dan enggan pisang berbuah dua kali.

“Saya kesal dengan tindakan itu yang tidak sepatutnya dilakukan. Ia khilaf diri saya yang terlalu memikirkan hala tuju kerjaya seni ketika itu hingga saya lupa menjaga imej diri dan nama baik keluarga, lebih-lebih lagi bapa adalah imam yang dihormati masyarakat," katanya.

Arja yang masih aktif dalam bidang seni berkata, dia bersyukur apabila berjaya diterima mengikuti pengajian di peringkat sarjana.

"Ilmu sangat penting. Disebabkan itu, saya gembira hasrat menyambung pengajian menjadi kenyataan. Apatah lagi, saya kini sudah membuka Arja Art Academy.

"Baru tiga bulan beroperasi, masih banyak urusan promosi perlu saya lakukan untuk akademi berkenaan. Pelajar pun tidak ramai lagi dan baru beberapa orang," katanya.

Selain sibuk belajar, Arja kini bersaing di pentas acara Dansa Dan Sing bersama kumpulan penarinya, The Pirates.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 4:59 PM