KAMISAH ABD MANAP


SEORANG Pengurus Produksi terkilan dengan sikap pelakon lelaki yang dikatakan menabur fitnah terhadapnya.

Kamisah Abd Manap atau Kam ketika dihubungi berkata, dia tidak pernah memilih kroni atau memberikan tawaran berlakon kepada rakan-rakan terdekat saja.

“Saya kesal dengan tuduhan yang dilemparkannya. Ia tidak benar. Jika saya mengamalkan kronisme, saya tidak akan menghubungi dan menawarkan dia berlakon untuk sebuah drama yang sepatutnya dia bintangi.

“Disebabkan bayaran yang dikenakan tidak masuk akal dan harga yang diminta tidak sesuai dengan babaknya yang sikit, jadi penerbit terpaksa gugurkan namanya kerana tidak menepati bajet. Saya hanyalah Pengurus Produksi yang bekerja dengan produser dan segala keputusan perlu melalui mereka.

“Saya harap dia bersyukur sekurang-kurangnya kami dari pihak syarikat produksi ada juga teringat ingin menawarkannya berlakon,” katanya.

Menurut Kam, dia berharap pelakon itu bersikap rasional dan realistik sebagai pelakon dan harga yang diberikan perlu setimpal.

“Justeru saya harap pelakon ini sedar dan jangan mudah melenting apabila tawaran lakonan yang datang tidak berjaya. Anggaplah itu bukan rezeki dan mungkin rezeki orang lain.

“Sebagai seorang Pengurus Produksi saya perlu menjaga amanah dan tanggungjawab daripada produser,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 7:11 PM