NABILA HUDA
NABILA HUDA
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON popular Nabila Huda enggan mengulas mengenai kenyataannya di Twitter semalam yang dikaitkan dengan situasi kehidupan dan kesihatan terkini pelakon kanak-kanak, Puteri Balqis Azizi.

Menurut Nabila, dia sekadar menulis pertanyaan yang menjadi tanda tanya buatnya.

“Itu adalah persoalan. Saya tak mahu komen lebih lanjut kerana tak mahu ada sebarang salah faham daripada mana-mana pihak,” katanya kepada Harian Metro.

Memetik tulisannya di Twitter, Nabila tertanya-tanya mengenai tindakan ibu bapa pelakon kanak-kanak itu yang membiarkannya keluar mencari rezeki sedangkan kesihatannya terganggu.

“Persoalannya, kenapa seorang budak yang sakit dibiarkan berjalan satu KL untuk sara hidup sedangkan ibu bapa dia mempunyai kaki dan tangan yang sempurna?

“Kenapa seorang budak kena ikat perut sedangkan ibu dan bapanya mempunyai kemampuan untuk berjalan, bercakap dengan sempurna?” tulisnya di Twitter.

Di akaun media sosial itu juga, Nabila menjawab pertanyaan warganet yang mempersoal mengenai bantuan daripada orang sekeliling kepada Balqis.

“Kami sentiasa ada, sedia membantu dan pernah membantu. Sangat membantu. Kami manusia, bukan semua. Dia bukan gula, dia adalah anak dari syurga. Semua sayang dan sentiasa bantu,” katanya.

Menutup tulisannya di Twitter, Nabila turut menyentuh mengenai perceraian.

“Perceraian bukan alasan atau penyelesaian. Persoalannya, sanggupkah membiarkan anak yang sakit mencari rezeki? Dari tadi, itu persoalan saya,” tulisnya.

Kisah Balqis mula mencuri perhatian ramai selepas melihat mengenai kehidupannya yang kini hanya berdua bersama ibunya, Norashikin Mohd Aziz selepas kedua orang tuanya berpisah sejak empat tahun lalu. Norashikin bagaimanapun gagal dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 8:31 PM