PUTERI Balqis Azizi, 13, menafikan ibunya sengaja membiarkan dia bekerja menjual buku disekitar ibu negara. FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON kanak-kanak, Puteri Balqis Azizi, 13, menafikan ibunya Norashikin Mohd Aziz sengaja membiarkan dia bekerja dengan menjual buku di beberapa kawasan sekitar ibu negara seperti dakwaan segelintir pihak.

Puteri dalam luahannya di Instagram hari ini berkata, ibunya tidak pernah membiarkan dia bekerja, sebaliknya dia yang mahu turut serta.

“Sebenarnya ibu yang berniaga dan saya cuma ikut. Dia memang tidak benarkan, tapi saya kasihan melihatnya.

“Memang ibu bekerja, tapi tanggungan untuk anak yang sakit setiap hari itu sangat berat. Sedangkan keluarga Diraja yang kaya-raya juga kehilangan anakanda mereka tak mampu diselamatkan dengan wang, apatah lagi ibu saya,” katanya.

Puteri Balqis berkata, jika dia bukan selebriti, pasti orang ramai akan mengatakan mereka kuat. Namun, disebabkan dia pelakon, jadi orang lebih nampak yang negatif seperti kenapa dia dibiarkan bekerja?

Menurutnya, itulah bezanya disebabkan dia seorang pelakon dan bukannya masyarakat biasa.

“Saya bersyukur tidak diberikan rezeki dalam lakonan tapi dalam penulisan lebih indah. Saya terhindar dari berjumpa dengan ramai manusia. Jika ibu tidak memberikan pendidikan kepada saya, mana mungkin saya mampu menulis dan bercakap,” katanya.

Pelakon yang pernah memenangi Pelakon Wanita Terbaik (Drama) di Anugerah Skrin 2014 ini turut menafikan tuduhan segelintir pihak mengatakan ibunya mengambil dadah.

Dalam pada itu, Puteri Balqis turut sedih dengan tindakan pelakon Nabila Huda memuat naik status yang mempersoalkan tindakan ibunya itu di Twitter kelmarin.

Puteri Balqis berkata, Nabila tidak sepatutnya berkongsi perkara itu di laman sosial.

“Saya mungkin tidak mempunyai pengikut ramai untuk mengiyakan dan bersorak untuk saya. Cukuplah Tuhan kami sebagai pelindung.

“Diuji dengan kesakitan, kita cari penawar. Diuji dengan kesusahan, kita usaha. Diuji dengan pengkhianatan, kita berhati-hati. Diuji dengan kehilangan, kita hargai masa. Saya terpanggil untuk meluahkan perasaan ini disebabkan kenyataannya dalam Twitter. Memandangkan saya dan ibu tidak ada Twitter dan Facebook, jadi ada yang menyampaikan kepada kami perkara ini,” katanya.

Puteri Balqis berkata, dia sedih apabila Nabila mempersoalkan tindakan ibunya kerana kenyataan mengatakan dia dibiarkan berjalan menjual buku di sekitar Kuala Lumpur hanya bersifat menuduh dan bukannya memahami.

“Kami juga pernah melakukan kesalahan, tapi kami cuba berubah. Jika anda (Nabila) mahu salahkan orang lain tidak mengapa, tapi jangan sebut atau salahkan ibu,” katanya.

Menurut Puteri Balqis, ibunya sudah menghabiskan puluhan ribu Ringgit bagi merawat penyakit misteri yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.

“Bukan tidak ada kawan atau saudara, tapi mereka juga ada masalah. Saya menderita sakit bertahun lamanya dan ibu saksi keperitan saya. Ibu tak pernah lupa jasa ‘auntie’ Nabila dan kawan-kawan yang membantu kerana dia sentiasa menjawab kepada persoalan.

“Sampai bila saya ingin dibantu? Mungkin mereka yang mengalami seperti kami saja yang faham. Ibu saya satu-satunya ahli keluarga yang tak pernah tidak bekerja. Dari dulu dia sudah buat macam-macam. Di lokasi penggambaran pun dia jual asam jeruk dan berniaga di mana-mana saja.

“Ibu berhak bersuara dan membela apabila melihat saya dibuli segelintir pihak. Ibu juga terpaksa berhenti kerja lain kerana saya selalu sakit,” katanya.

Sementara itu, Puteri Balqis turut menjelaskan ibunya sudah melangsaikan hutang kepada beberapa individu berkenaan dan masih lagi mencari mana-mana individu lain yang pernah memberi pinjaman wang kepada mereka.

Kisah Puteri Balqis kembali mendapat perhatian selepas Harian Metro berkongsi kisahnya menjual buku puisi di jalanan bagi menampung kehidupan bersama ibunya, baru-baru ini.

Ini disusuli dengan paparan dalam program Bersamamu di TV3 yang ditayangkan, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 11:54 AM