SHAHRULEZAD MOHAMEDDIN


“PIHAK produksi mengeluarkan kos ribuan ringgit sehari hanya untuk khidmat nasihat cara menggunakan alatan perubatan untuk kes pesakit koma,” kata pengarah Shahrulezad Mohameddin mengenai babak dalam drama Adellea Sofea lakonan Ungku Ismail ketika terlantar koma di hospital yang menjadi perdebatan penonton.

Shahrulezad menerusi akaun Instagram berkata, dia sudah mendapatkan nasihat pakar sebelum memulakan penggambaran babak terbabit.

“Semasa penggambaran babak yang membabitkan Fir (lakonan Ungku Ismail) ketika koma, kami bukan buat sesuka hati dengan peralatan yang ada.

“Apa yang anda tengok di TV itu adalah atas nasihat pakar, bukan saya sesuka hati buat. Semua itu di bawah pengawasan pakar terbabit. Masalah sekarang apabila ada spesies penonton Melayu yang memang sengaja suka mencari kelemahan drama tempatan dan cuba menggembar-gemburkan isu untuk mendapat perhatian. Cara teguran pula sangat menyakitkan hati seolah-olah kami di lokasi penggambaran bodoh-bodoh belaka, padahal dia sendiri tak ikut cerita ini dari awal terus kritik berdasarkan satu babak,” katanya.

Menerusi hantaran itu, Shahrulezad turut berkongsi paparan skrin status yang dibangkitkan seorang wanita di Facebook.

Individu itu mendakwa, drama berkenaan menggunakan alatan perubatan yang salah oleh seorang pesakit yang sedang koma.

Menurut Shahrulezad, komen-komen yang sengaja mencari kesalahan dalam drama tempatan kadang-kadang membunuh semangat penggiat seni untuk menghasilkan drama berkaitan dunia perubatan.

“Komen kasar sebeginilah kadang-kadang buat penggiat drama ‘give up’ nak sentuh drama yang berkaitan dunia perubatan disebabkan perangai sesetengah netizen yang merasakan kami ini bodoh-bodoh belaka.

“Ya, memang bidang perubatan ini bukan bidang kami, sebab itu kami tak kisah keluarkan bajet lebih untuk memastikan kami tak buat silap, tapi tetap ada yang tak kena.

“Untuk itu, saya menyeru semua penggiat drama Malaysia tak payahlah kita dekati cerita yang ada kena mengena dengan hospital ini sebab jika kita berhati-hati macam mana sekali pun, kita tetap kena balik,” katanya.

Drama Adellea Sofea sudah berakhir semalam selepas bersiaran menerusi slot Akasia selama 28 episod di TV3.

Selain Ungku Ismail, drama terbabit turut dibintangi Mira Filzah, Jasmine Suraya, Fizo Omar dan Bella Dally.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 6:42 PM