NORASHIKIN Mohd Aziz. ibu Puteri Balqis. FOTO TV3
Sudirman Mohd Tahir


IBU kepada pelakon cilik, Puteri Balqis Azizi iaitu Norashikin Mohd Aziz menafikan dia dan bekas suami terbabit dalam penyalahgunaan dadah seperti didakwa segelintir pihak.

Norashikin ketika dihubungi Harian Metro berkata, itu adalah fitnah yang sengaja dilemparkan dalam usaha untuk mengeruhkan lagi keadaan dilaluinya sekarang.

“Saya dan Aqish (Balqis) jadi penat dengan fitnah ini. Berat sangat dugaan kami. Janganlah fitnah saya begini.

“Saya tidak pernah ambil dadah atau buat perkara itu di lokasi penggambaran. Jangan disebabkan penampilan saya yang kurus dan ‘serabai’ orang fitnah saya sedemikian rupa. Saya tidak ada masa nak bersolek dalam keadaan anak saya sebegitu.

“Saya juga nak pertahankan bekas suami yang dituduh ambil dadah. Walaupun kami bukan lagi suami isteri, fakta salah mengenainya saya kena betulkan. Sepanjang kami bersama, tidak pernah ambil dadah. Kalau tidak ada apa yang baik untuk diperkatakan mengenai kami, janganlah sampai fitnah. Selama 10 tahun saya dan bekas suami terbabit dalam bidang ini, tak pernah pun nak ambil dadah. Aqish sangat sedih dengan perkara ini,” katanya.

Norashikin berkata, itu juga menjadi sebab kenapa anaknya menarik diri pada saat akhir daripada terbabit dalam telefilem Tiada Galang Ganti terbitan A Aida Production semalam.

Norashikin menjelaskan, anaknya memang tidak mahu berlakon buat masa sekarang.

“Dia tidak mahu mendengar perkara negatif di lokasi. Sebelum ini dia tak pernah buat hal begini. Dulu, apa saja masalah yang berlaku, dia tetap ke lokasi. Tapi kali ini sangat berbeza dan bertalu-talu kami kena.

“Disebabkan itu, dia tidak mahu berlakon. Saya minta maaf sangat dengan A Aida Production. Tawaran berlakon memang ada, tapi Aqish yang tidak mahu berlakon. Takkan saya nak paksa pula sebab yang mahu bekerja adalah dia.

“Buat masa ini dia memang lebih kepada penulisan dan lebih suka bersendiri. Dia ada kawan tertentu saja. Orang dalam industri hiburan pun dia tidak mahu jumpa sangat,” katanya.

Terdahulu, Puteri Balqis yang juga pelakon drama Akulah Balqis memuat naik luahan hati di Instagram berkenaan tuduhan segelintir pihak mengatakan ibunya mengambil dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 4:22 PM