LATHEEFA (tengah) bersama Juhari (tiga dari kiri), Shamsun Baharin (tiga dari kanan) serta barisan pelakon teater Semarak Pertiwiku.
Ridzuan Abdul Rahman

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan usaha mendekati masyarakat menerusi kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dengan pementasan teater berjudul Bahara Emas di Auditorium DBP, Kuala Lumpur pada 2017.

Tahun ini, mereka sekali lagi hadir dengan misi serupa apabila akan mementaskan teater berjudul Semarak Pertiwiku yang menampilkan pelakon Ungku Ismail, Taufiq Hanafi, Sherie Merlis dan Anding di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 30 hingga 31 Januari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, pementasan teater ini bertujuan membimbing masyarakat untuk membenci setiap jenayah dan salah laku rasuah.

“Teater ini akan menjadi wadah untuk semua pihak mengetahui jenayah rasuah adalah musuh utama yang wajib ditangani pada semua peringkat dalam masyarakat.

“Melaluinya, mesej disampaikan kepada penonton mengenai bahana ketamakan yang membawa kepada rasuah dan keruntuhan sebuah kerajaan.

“Pengisiannya akan membawa aspirasi kepada setiap anggota masyarakat termasuk penjawat awam supaya berintegriti tinggi,” katanya pada sidang akhbar di Istana Budaya, baru-baru ini.

UNGKU Ismail.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil; Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, Ungku Ismail, Taufiq Hanafi dan Pengarah Semarak Pertiwiku, Muhammad Azri Ali.

Menurut Latheefa, teater bukan hanya satu seni semata-mata, sebaliknya semua pihak perlu menghayati mesej dan kandungan yang disampaikan di dalamnya.

“Matlamatnya jelas iaitu memperlihatkan usaha kerajaan bersama SPRM membanteras rasuah kerana elemen dan mesej yang akan disampaikan dalam teater itu mempunyai kaitan dengan masalah sosial yang berlaku pada masa ini.

“Saya yakin ia juga mampu menyemai semangat patriotisme selain mewujudkan kehidupan yang maju, aman dan sejahtera. Inilah antara sumbangan SPRM kepada rakyat Malaysia yang cintakan kehidupan yang bersih dan bebas rasuah,” katanya.

Semarak Pertiwiku dianjurkan SPRM dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Istana Budaya serta Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Teater Semarak Pertiwiku pernah dipentaskan di Kuching, Sarawak pada Julai tahun lalu menggunakan dialek Melayu Sarawak dan mendapat sambutan hangat peminat.

Muhammad Azri berkata, mereka tetap akan menggunakan dialek Sarawak kerana ingin mengekalkan keaslian persembahan ini, selain mesejnya yang kuat.

“Istimewanya, lagu-lagu yang akan ditampilkan dalam persembahan ini adalah ciptaan baharu dan akan dinyanyikan secara ‘live’ oleh pelakon teater ini.

“Kebanyakan pelakonnya adalah pelakon asal kecuali kemasukan Ungku Ismail menggantikan tempat Azhan Rani,” katanya.

Mengikut perancangan, persembahan akan berlangsung selama dua sesi iaitu sesi petang dan sesi malam.

Pementasan Semarak Pertiwiku dibuat secara percuma menerusi jemputan khas kepada penjawat awam dan ‘stakeholders’ (pemegang taruh) SPRM yang banyak bekerjasama sepanjang 2019 di dalam pelbagai projek pencegahan yang dianjurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 7:00 AM