JAMAL bersama Wany Hasrita (dua dari kiri), Osama (kiri) dan Zaki (kanan). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
HM Digital

TIDAK semua peminat Datuk Jamal Abdillah berpeluang menyaksikan persembahannya dari dekat.

Justeru, mereka yang merindui kelibatnya tentu tidak melepaskan peluang menyaksikan Konsert Minggu Ini Jamal Abdillah & Wany Hasrita yang akan menemui penonton menerusi TV2, jam 9 malam ini.

Selain gandingan mereka, dua anaknya, Osama dan Zaki turut ditampilkan sebagai artis undangan.

Sebagai bintang kelahiran RTM dengan kejayaan menjuarai pertandingan Bintang RTM pada 1979, Jamal melahirkan perasaan bangga apabila terpilih menghiasi slot ini.

“Sebagai penyanyi yang sudah 40 tahun menyanyi dan boleh dianggap veteran, bergabung dengan artis baharu yang popular dan anak sendiri membuatkan saya bangga.

“Ikutkan cadangan asal, hanya saya dan Wany yang terbabit dalam konsert itu tapi RTM minta Osama dan Zaki turut serta.

“Melihatkan kedua-duanya ada single sendiri, rasanya tak salah untuk saya ajak sama dalam program ini. Sekurang-kurangnya ia sebagai pendedahan buat mereka muncul di TV,” katanya.

Walaupun mengalami demam dan sakit tekak ketika rakaman dibuat November tahun lalu, Jamal tetap meneruskan persembahannya seperti biasa.

“Saya kena tunjukkan komitmen sepenuhnya terhadap karier. Segala sakit saya ketepikan dulu demi untuk menghiburkan peminat. Lagipun bukan selalu saya berpeluang terbabit dalam program sebegini.

“Sangat seronok apabila saya lihat peminat memenuhi setiap ruang Auditorium Perdana sehingga bahagian depan walaupun rakaman dibuat pada hari bekerja,” katanya yang mengharapkan rancangan ini mencipta ‘trending’ dalam kalangan peminat.

Menerusi program terbitan Mohd Alfarizal Hassan ini, Jamal dan Wany masing-masing menyampaikan rangkaian lagu-lagu popular mereka termasuk lagu duet terbaru berjudul Belenggu Rindu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 7:30 AM