SITI Nordiana.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI popular, Siti Nordiana mengakui mendapat tawaran daripada beberapa syarikat produksi untuk mengadaptasi kisah hidupnya daripada buku biografi Life Goes On ke drama.

Bagaimanapun Siti Nordiana berkata, belum terdapat sebarang perbincangan lanjut mengenai perkara itu.

"Selepas buku ini mendapat sambutan, diakui terdapat beberapa pihak daripada syarikat produksi drama yang menawarkan untuk mengadaptasi ke drama. Cuma, ketika itu belum ada yang 'confirm'. Jadi, tidak ada lagi perbincangan lanjut.

"Kalau selepas ini ada lagi, saya okay dan terbuka saja. Sebab, saya mendapat banyak maklum balas mengatakan buku ini memberikan inspirasi kepada mereka. Saya beranggapan, kalau ia dijadikan drama pun lebih menarik.

"Mungkin mereka ingin merasai lebih dalam lagi perjalanan hidup saya. Bagi saya, jika perkara ini dapat direalisasikan, ia bukan bertujuan untuk memalukan saya atau mana-mana pihak, tapi mahu memberikan inspirasi," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Siti Nordiana yang popular menerusi lagu Hatiku Milikmu, dia menolak untuk berlakon dalam drama itu.

"Bagi saya, biarlah pelakon yang lebih bagus membawakan watak saya supaya penyampaian dan penghayatan lebih berkesan. Orang cakap kalau buat sendiri lebih 'feel', tapi secara peribadi saya merasakan tidak.

"Kalau saya lakonkan semula, bimbang 'feel' tidak sampai dan orang akan mengata pula. Walaupun ia kisah saya, tidak semestinya boleh berlakon depan kamera. Soal isi hati saya memang tahu, tapi nak sampaikan belum tentu boleh.

"Apatah lagi perlu bermain dengan emosi. Dalam buku ini digambarkan emosi naik dan turun. Jadi, kalau boleh biarlah pelakon hebat bawa watak saya," katanya.

Ditanya siapa pelakon yang menjadi pilihan untuk melakonkan watak dirinya, Siti Nordiana berkata dia membayangkan pelakon, Nabila Huda.

"Saya membayangkan Nabila Huda. Dia sangat bagus watak berat. Tapi, tidak dinafikan ada lagi beberapa pelakon yang bagus.

"Sejujurnya, ketika menghasilkan buku ini saya tidak terfikir jauh pun jika ia mahu diadaptasi ke kaca TV. Cuma, saya bersyukur dan terkejut dengan sambutan diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 1:25 PM