KUALA LUMPUR 20 JANUARI 2020. Projector Band. NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ


KUMPULAN Projector Band menafikan berlaku perselisihan faham di antara mereka yang membawa kepada pengunduran pemain gitarnya Zainal Amir Hamzah akhir tahun lalu.

Pemain gitar utama, Razif atau lebih dikenali Angah berkata, mereka akur dengan keputusan Zainal untuk keluar daripada kumpulan itu.

"Sebenarnya tiada apa-apa yang berlaku dalam Projector Band, cuma Zainal menarik diri disebabkan dia kini bekerja tetap sebagai penjawat awam.

"Jadi disebabkan komitmen itu, dia memilih untuk keluar daripada kumpulan ini sejak akhir tahun lalu. Kami berlapang dada dan tidak ambil hati dengan keputusan Zainal.

"Lagipun dia adalah kawan baik kami. Sebelum Projector Band ini diutubuhkan kami sudah berkawan rapat dan tiada apa yang perlu kami marahkan kerana apa yang ingin dibuat adalah pilihannya sendiri," katanya.

Menurut Razif, walaupun sedih dengan keputusan Zainal, kumpulan itu tetap meneruskan kerjaya muzik seperti biasa.

"Setakat ini kami belum ada sebarang perancangan untuk membawa masuk anggota baru. Kami rasa Projector Band sesuai dengan hanya empat orang ahli saja.

"Lagipun kami sudah saling kenal dan faham perangai masing-masing. Namun jika ada undangan nyanyian yang memerlukan pemain gitar atau keyboard kami akan mengambil rakan-rakan terdekat untuk membantu kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 10:33 AM