SASHA Saidin bersama pasangannya, Sirhan Wahab di majlis perkahwinan mereka yang diadakan di The Sanctuary Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
Georgie Joseph


PELAKON dan penyanyi Sasha Saidin, 43, meminta tuduhan mengenai dia adalah perampas sebelum berkahwin dengan Sirhan Wahab, 43, semalam dihentikan.

Sasha atau nama sebenarnya Sasha Mohd Saidin berkata, segala tuduhan dalam emel yang tular termasuk mengatakan dia mengadakan hubungan sulit dengan Sirhan adalah tidak benar.

“Itu semua fitnah. Kami tahu siapa yang tulis emel itu. Insya-Allah, Allah akan memaafkannya,” katanya.

Bekas anggota Elite itu juga menepis dakwaan bahawa perkahwinannya dengan Sirhan tidak mendapat restu daripada pihak keluarga lelaki.

“Alhamdulillah majlis pernikahan kami pun dihadiri kedua-dua belah keluarga yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kami. Kita ini manusia dan kita hanya mampu merancang, tapi sebaik-baik perancangan adalah daripada Allah juga,” katanya.

Baru sehari melangsungkan pernikahan, tular dakwaan mengatakan Sasha adalah perampas kebahagiaan dan menjalin hubungan sulit dengan Sirhan di belakang pengetahuan bekas isterinya menerusi sebuah emel dihantar individu tidak dikenali.

Perkahwinan mereka juga dikatakan tidak mendapat restu daripada keluarga lelaki selain dakwaan suaminya mengalami masalah psikologi.

Sasha dan Sirhan melangsungkan pernikahan kelmarin di The Sanctuary, Kuala Lumpur. Mereka dinikahkan adik Sasha yang juga pelakon, Zain Saidin di hadapan keluarga dan rakan terdekat.

Berita berkaitan

Sasha kini milik Sirhan

Sasha tersentuh dengan janji Sirhan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 1:09 PM