AMAN bersama anaknya. FOTO Instagram Aman Nassim
Norhayati Nordin


PELAKON Aman Nassim, 31, mengabadikan nama Allahyarham bapanya buat anak sulung yang lahir pada 13 Januari lalu.

Aman dan isteri, Nor Baizura Abdul Ghani, 34, yang juga pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dikurniakan bayi lelaki yang diberi nama Nassim Iskandar Abdul Rahman sempena nama bapa Aman iaitu Nassin Haron.

“Sudah jadi tradisi juga dalam keluarga saya mengabadikan nama datuk dan nenek kepada anak-anak sebagai legasi," katanya.

Menurut Aman, bayinya kini masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital untuk pemantauan lanjut kerana lahir tidak cukup bulan.

"Ikut jangkaan doktor, anak kami lahir pada awal Februari depan. Namun, isteri disaran bersalin awal kerana kedudukan bayi songsang dan besar.

"Anak saya lahir pada usia kandungan isteri lapan bulan dengan berat 3.3 kilogram dan kesihatannya perlu pemantauan rapi," katanya.

Menurut Aman, hampir satu minggu bayi di hospital, baru semalam dia bersama isteri mendapat peluang mendukung dan mencium anak mereka.

"Alhamdulillah, perasaan saya sangat teruja saat pertama kali dapat dukung dan cium anak. Satu minggu saya perlu menunggu saat itu

"Sejujurnya, saya tidak sabar untuk membawa anak pulang ke rumah. Apapun, demi kesihatannya saya akur atas apa saja nasihat doktor,' katanya.

Aman berkata, sebagai ibu bapa baru yang tiada pengalaman, dia bersama isteri selesa mengambil pandangan doktor sebagai rujukan demi kesihatan anak mereka.

"Apa yang pasti, kelahiran anak saya ini adalah rezeki dan pengganti arwah bapa yang dianugerahkan Allah buat keluarga saya.

“Apabila lihat wajah anak dan sebut namanya, dapatlah saya melepas rindu terhadap arwah bapa. Sesungguhnya, Allah merancang yang baik buat saya sekeluarga," katanya.

Aman atau nama sebenarnya Abdul Rahman Nassim berkahwin dengan Nor Baizura pada 6 April tahun lalu ketika Allahyarham bapanya tenat di hospital.

Allahyarham bapa Aman yang menghidap kanser usus tahap empat meninggal dunia di hospital di Johor pada 13 April, seminggu selepas Aman bernikah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 6:40 PM