PENYANYI, Khai Bahar selepas sidang media Konsert Khai Bahar : Dari Smule ke Pentas Dunia di Istana Budaya. FOTO Asyraf Hamzah
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI popular Khai Bahar bekerjasama dengan Fauziah Ahmad Daud untuk menjayakan konsert sulungnya yang bakal berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Mac ini.

Konsert anjuran Ogy Ventures & Network Sdn Bhd itu dinamakan sebagai Konsert Khai Bahar Dari Smule ke Pentas Dunia dan akan berlangsung selama dua hari berturut-turut.

Khai ketika ditemui berkata, dia teruja kerana ini adalah umpama impian yang menjadi kenyataan.

"Ini pengalaman baru buat saya dan menjadi penghargaan terbesar buat bakat muda seperti saya. Walaupun saya sedar usia karier masih baru dan ini adalah cabaran besar buat saya, saya sahut kerana peluang ini tidak selalu datang," katanya.

Menurutnya, kerjasama dengan Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy itu adalah satu peluang terbaik kerana pengalaman pelakon dan penyanyi bertaraf legenda itu yang cukup lama.

"Kak Ogy satu nama besar dalam industri hiburan kita. Pastinya menjadi impian semua anak seni untuk bekerjasama dengan beliau. Ketika dia mempelawa saya untuk mengadakan konsert ini, saya tak berfikir panjang dan terus terima.

"Kita semua sedia maklum mengenai ketegasannya. Namun, saya yakin sikap tegasnya itulah yang membuatkan hasil kerjanya berkualiti dan setiap didikannya akan saya ambil sebagai pengalaman untuk memperbaiki kekurangan diri saya," katanya.

Khai akan menjalani latihan selama dua bulan bagi memberikan fokus sepenuhnya kepada konsert yang akan menyaksikannya menyampaikan 20 lagu.

Mula popular menerusi dengan lagu Bayang, Khai adalah antara bakat yang muncul daripada aplikasi Smule dan mencatat kejayaan di dalam industri muzik sehingga ke hari ini sejak bermula empat tahun lalu.

Sementara itu, Ogy mengakui Khai antara bakat muda yang memiliki potensi dan pesona tersendiri serta mampu diangkat ke peringkat antarabangsa.

"Dia adalah anak seni generasi baru yang berkualiti dan pada saya, bakatnya adalah satu kurniaan Tuhan yang luar biasa. Dengan pendedahan dan didikan yang betul, Khai mampu mengorak langkah serta menjadi penghibur bertaraf antarabangsa," katanya.

Konsert Khai Bahar Dari Smule ke Pentas Dunia akan berlangsung pada 27 dan 28 Mac di Istana Budaya. Tiket konsert itu juga sudah mula dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 7:21 PM