JENAZAH Lok-U selamat dikebumikan. FOTO NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


“AYAH ada hantar mesej motivasi, minta saya jadi seorang yang berjaya dalam keluarga dan itu impiannya," kata Adam Danial, anak sulung pengarah muzik, Allahyarham Faizal Uzir yang berkongsi perbualan terakhir bersama arwah bapanya.

Faizal atau lebih dikenali pada kalangan penggiat seni tanah air sebagai Lok U meninggal dunia, pagi semalam.

Adam, 20, pelajar Matrikulasi Negeri Sembilan, Kuala Pilah berkata, dia begitu terkejut apabila dimaklumkan berita kematian bapanya.

"10 minit pertama, saya tergamam sehingga tidak dapat melahirkan apa-apa perasaan.

"Selepas itu apabila teringat semula memori bersama ayah dan

sebagainya, saya rasa sangat sedih dan tak henti menangis.

"Dalam perjalanan pulang, saya asyik menangis kerana hilang tempat bergantung dan meluahkan segala-galanya," katanya.

Menurut Adam, sebagai anak sulung, ayahnya selalu berpesan supaya dia menjadi anak yang berguna kerana akan menjadi ketua keluarga suatu hari nanti.

"Kami adik beradik selalu dengar ayat ini tapi tak sangka seawal ini pula ayah pergi.

"Kami baru nak masuk alam remaja dan dah kena lalui semua ini

"Tapi, tak apa kerana ini janji Allah yang sayangkan ayah. Kami kena terima hakikat dan bangkit dari kesedihan," katanya.

Allahyarham Faizal meninggal dunia akibat mengalami sesak nafas dan rebah di rumahnya di Puncak Jalil, Seri Kembangan selepas pulang daripada melakukan aktiviti bersenam sekitar jam 11 pagi semalam.

Adam berkata, kematian ayahnya amat mengejutkan kerana arwah tidak pernah mengalami sebarang penyakit.

"Ayah seorang yang menjaga kesihatan dengan selalu bersenam, pergi gimnasium dan kawal makan.

"Ayah juga sangat bermotivasi dan tahu apa nak dilakukannya dalam hidup.

"Dia sentiasa motivasikan saya dan adik-adik semoga berjaya dalam hidup dan kena keluar dari zon selesa untuk cari kehidupan," katanya.

Menurutnya, arwah ayahnya juga sering ingatkan menjaga solat kerana perlu menjaga hubungan dengan Tuhan.

"Ayah seorang yang penyayang dan suka berjenaka. Perkara yang paling seronok apabila kami berkumpul sekeluarga di meja makan.

"Dia selalu puji masakan ummi dan buat lawak. Saya akan rindukan kenangan ini," katanya.

Terdahulu jenazah Faizal menjalani proses bedah siasat di Hospital Sedang dan dimandi serta dikafan sebelum disembahyangkan di surau Al- Falah, Puncak Jalil selepas solat Maghrib.

Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam USJ 22 untuk dikebumikan pada jam 9 malam.

Allahyarham Lok U, 46, meninggalkan isteri, Jamariah Yusof dan empat anak iaitu Adam Danial, 20, Faris Danial,18, Ahmad Firhan Danial, 15, dan Yasmin Damia, 13.

Berita berkaitan:

  • Lok U meninggal dunia
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 7:45 AM