RADIO dan pelakon komedi, Issey Fazlisham. Foto Ihsan IG Issey Fazlisham
RADIO dan pelakon komedi, Issey Fazlisham. Foto Ihsan IG Issey Fazlisham
Norhayati Nordin


PERSONALITI radio dan pelakon komedi, Issey Fazlisham, 32, menyifatkan kehidupannya sudah lengkap dengan kehadiran isteri dan anak.

Issey berkata kini dia hanya berharap dapat memikul tanggugjawab diamanahkan Allah SWT kepadanya dengan baik.

"Sekarang, saya gembira dengan kehidupan baru yang dilalui ini kerana mendapat kasih sayang isteri dan anak-anak.

"Doa saya, semoga dapat menjadi bapa yang baik buat mereka. Biarlah orang nak kata apa, saya tak kisah," ujarnya.

Mengulas status 'bapa segera', Issey berkata wajar untuk dia berusaha memberikan kasih sayang sebaiknya buat tiga anak tiri.

"Sejak belum berkahwin dengan isteri, saya sudah cuba rapat dengan anak-anaknya. Saya mahu mereka (anak) terima saya.

"Apatah lagi, mereka kehilangan bapa kandung ketika masih kecil yang meninggal dunia akibat kemalangan," katanya.

Issey atau nama sebenar Fazlisham Mat Hussin memberitahu kini hubungan mereka sekeluarga makin rapat.

Malah, katanya dia juga sudah merasai pengalaman seorang bapa yang perlu menghantar anaknya ke sekolah

"Saya sangat seronok. Ia saat yang paling indah walaupun saya perlukan masa untuk belajar dan sesuaikan diri.

"Alhamdulilah, kini segalanya lancar dan saya bersyukur dengan nikmat memiliki keluarga yang dihadirkan Allah ini," katanya.

Issey yang pernah berstatus duda, akhirnya bertemu jodoh rakan sekolahnya, Noor Aimi Mohamed Jamil, 32 pada 22 Disember tahun lalu.

Aimi yang bertugas sebagai pengurus sumber manusia memiliki tiga anak berusia antara empat hingga lapan tahun hasil daripada perkahwinan terdahulu.

Baru-baru ini, ada pengikut Instagram Issey yang menulis komen menyatakan rasa kasihannya kepada pelawak itu kerana perlu menanggung tiga anak tiri.

Namun, Issey dengan jawapan sinis memaklumkan hidupnya kini gembira dan bahagia di samping keluarga tercinta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 5:56 PM