SHERRY pada pelancaran Sher’s by Sherry Ibrahim di Publika. FOTO Shafina Jemenon


WALAUPUN wang simpanan dihabiskan untuk menjalankan beberapa perniagaan, pelakon Sherry Ibrahim tidak kisah asalkan apa yang diimpikan dapat direalisasikan.

Sherry, 37, atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim berkata, perkara itu lebih memberi kepuasan walaupun berdepan risiko tinggi terutama soal untung dan rugi.

“Tahun lalu saya ada membuka perniagaan spa rambut. Saya keluarkan modal sendiri tanpa sebarang rakan kongsi. Walaupun pendapatan ada naik dan turun, tapi saya puas sebab ia atas usaha sendiri. Bukan mudah sebenarnya, tapi ini adalah impian saya sejak dulu. Terbaru saya tampil dengan jenama tudung sendiri tanpa bantuan sesiapa,” katanya.

Siapa sangka, selepas berdepan episod hitam bersama seorang rakan perniagaan tahun lalu, Sherry memberanikan diri dengan jenama hijab sendiri yang dilancarkan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Sherry, dia bersyukur segala yang diimpikan mengenai rekaan hijab serta mahu memberi inspirasi kepada wanita bertudung tercapai.

“Alhamdulillah saya bersyukur apabila segala yang saya nak untuk setiap rekaan hijab dapat direalisasikan.

“Jenama tudung sebelum ini memang ada rekaan yang datang daripada idea saya sendiri, tapi tak semua yang saya hajat dapat dilaksanakan. Alhamdulillah rekaan kali ini saya dapat direalisasikan dan sesuai dengan semua lapisan umur,” katanya.

MEMBERANIKAN diri dengan jenama hijab sendiri. FOTO Shafina Jemenon

Menurut Sherry, dia berharap perniagaan tudung yang baru bermula ini dipermudahkan urusan walaupun perlu bersaing dengan pelbagai jenama tudung.

“Saya mengalami masalah ketika memilih hijab untuk bersenam kerana bimbang ia akan menyukarkan pergerakan serta tudung akan basah apabila berpeluh.

“Saya tak nak jadikan masalah hijab sebagai satu masalah. Jadi saya perkenalkan rekaan pertama ini yang sangat sesuai untuk wanita yang ingin bersenam dan melakukan aktiviti lasak,” katanya.

Walaupun sibuk mengusahakan perniagaan, Sherry tidak akan sesekali meninggalkan dunia lakonan yang terlebih dulu mengangkat namanya.

“Alhamdulillah, tawaran lakonan sentiasa ada. Cuma, saya kena lebih memilih sebab kena fokus perniagaan juga. Saya tak boleh tinggalkan terus berlakon sebab dalam masa sekarang ia turut memainkan peranan penting terutama dalam promosi.

“Saya bangkit perlahan-lahan. Adat perniagaan tidak semestinya terus berjaya. Apa yang penting, perkhidmatan dan kualiti perlu dijaga,” katanya.

Menurut Sherry, dia juga sedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara sekiranya ada tawaran yang bersesuaian.

“Sebelum ini saya pernah mengacarakan beberapa program Islamik, tetapi untuk melakukannya lagi saya akui bukan perkara mudah.

“Kalau boleh saya nak mengacarakan program berbentuk santai dan hiburan. Ramai yang skeptikal terhadap saya yang kini sudah berhijab.

“Sebenarnya saya tidak kisah mengacarakan apa program sekalipun asalkan tidak melanggar batas. Saya memang teringin mengacara lagi sebab tidak terikat dengan masa yang panjang seperti berlakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 6:30 AM