SENTIASA mementingkan hasil kualiti terbaik.
Georgie Joseph


TAMPIL mengarahkan filem pertamanya berjudul Escape, pengarah Ikhwansha Hazer tidak menafikan menyimpan impian untuk tampil dengan kualiti terbaik dalam naskhahnya itu. Semestinya dia inginkan kualiti filem itu nampak mahal.

Berbekalkan pengalaman yang ada, dia mengakui bajet besar bukan penentu untuk mendapatkan hasil memuaskan. Sebaliknya, seseorang pengarah perlu meneroka kreativiti diri hasilnya kelak berbaloi.

“Menjalankan penggambaran dengan bajet yang besar adalah impian setiap pengarah. Namun, jika terlalu kerap bekerja dengan bajet besar, takut nanti daya kreativiti pengarah dan pasukan akan menjadi terhad kerana terlalu lama berada di tahap selesa.

“Sebaliknya, apabila bekerja dengan bajet rendah, pengarah terutamanya perlu sentiasa berfikir di luar kotak. Ia adalah untuk memastikan visual dapat direalisasikan dengan cemerlang walau dengan apa cara sekalipun,” katanya.

Berkongsi mengenai Escape, dia mengakui kos penerbitan filem itu kurang RM600,000. Namun, dia berusaha memastikan naskhah itu mempunyai nilai produksi yang ‘mahal’ meski dengan bajet rendah.

“Pertama kita perlu faham maksud sebenar ‘look & feel’ filem dan tahu bagaimana hendak bezakan antara ‘look’ filem, drama dan dokumentari. Jika sudah kuasai aspek terbabit, nak buat filem tanpa ada bajet pun boleh.

“Cukup sekadar dengan satu kamera dan visi yang kukuh. Kedua, adalah konsep. Sebelum memulakan sesebuah produksi, pengarah perlu fikir adakah idea itu layak diangkat sebagai sebuah filem atau sekadar untuk drama TV,” katanya.

Ikhwansha turut membuat perbandingan mengenai senario yang berlaku dalam industri perfileman di Malaysia dengan luar negara.

“Banyak kita tengok filem bajet besar di negara ini, tapi konsep dan penceritaannya kalau dijadikan drama pun tak apa. Tidak seperti Hollywood, Bollywood mahupun Indonesia di mana kita dapat lihat jurang yang sangat ketara antara kualiti filem dan drama TV mereka,” katanya,

Bagaimanapun, dia tidak bersetuju apabila kru produksi dikerah tanpa bayaran setimpal ketika melakukan penggambaran.

IKHWANSHA harap Escape mampu tinggalkan impak besar.

“Ini perkara yang tidak harus berlaku di zaman industri filem tempatan kian berkembang dan meningkat naik. Tapi, jika kita lihat dari sudut akar umbi, perkara ini berlaku kerana sikap kebanyakan kru itu sendiri.

“Ramai yang mudah bersetuju dengan harga rendah yang ditawarkan penerbit walaupun mereka tahu harga itu tidak berbaloi dengan kerja yang bakal mereka galas.

“Apapun, nak buat filem bajet kecil boleh, tapi jangan sampai aniaya orang. Kecilkan skop cerita, kurangkan durasi penggambaran, pilih pelakon berkualiti dan bukan pelakon yang suka ‘demand’ bayaran mahal sebab pengikut ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Ikhwansha mendedahkan sanggup mencari gimik bagi memastikan karya itu mampu menarik orang ramai ke panggung untuk menonton.

Baginya, ‘permainan’ sebegitu adalah penting dalam membantu menaikkan promosi sesebuah filem sebagaimana dilakukan kebanyakan produksi di luar negara.

“Jika di luar negara, gimik adalah perkara biasa asal saja boleh melariskan karya mereka. Tetapi, di Malaysia ada undang-undang yang wajib dihormati demi keamanan rakyat yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

“Saya dan produksi ada juga terfikir idea ‘gila’ untuk melakukan gimik ancaman bom di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota. Bagaimanapun, selepas difikirkan kesannya kelak, cadangan itu terpaksa dibatalkan.

“Tidak mahulah disebabkan gimik yang menyentuh sensitiviti dan keselamatan negara, nilai semangat kenegaraan yang diselit dalam filem ini diabaikan,” katanya.

Ikhwansha juga mengakui mengambil pengajaran daripada pengalaman adiknya sendiri yang pernah ditahan polis kerana melakukan ‘prank’ pengganas untuk sebuah projek video tular selepas menerima aduan orang awam.

“Cubaan ‘prank’ sebegitu sangat berbahaya memandangkan isu mengenai keselamatan bukan perkara main-main.

“Apapun, mungkin sebab saya terlalu teruja mahu filem pertama arahan saya mendapat perhatian ramai, membuatkan idea gila itu tercetus,” katanya.

Filem Escape yang mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan dibintangi Kamal Adli, Elizabeth Tan, Amar Asyraf, Jue Aziz, Riz Amin, Zamarul Hisham, Pablo Amirul, Fiza Fukazawa dan Dato’ Jalaluddin Hassan.

Filem terbitan Dreamland Production bergenre ‘cerebral thriller’ berkenaan dijangka menemui penonton pada Mac tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 7:30 AM