LUQMAN FAIZ
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Luqman Faiz, 20, mengakui selesa berkawan baik dengan bekas kekasihnya selepas mereka berpisah tahun lalu.

Luqman yang popular menerusi lagu Kepuraanmu berkata, keputusan itu dibuat selepas mereka menguruskan perniagaan, Daunshawl bersama.

“Saya berbaik dengan dia sebab yakin yang jodoh kami sudah tiada. Malah, apa yang menguatkan lagi hubungan persahabatan kami walaupun selepas putus adalah perniagaan yang diusahakan bersama.

“Hasrat untuk buka perniagaan ini sudah lama iaitu sejak kami masih bersama lagi. Saya yang cadangkan supaya teruskan impian ini walaupun kami sudah berpisah. Saya kenal dia seorang yang profesional, begitu juga dengan saya,” katanya kepada Harian Metro.

Luqman berkata, dia hanya berfikiran positif kerana tidak guna jika menangisi perkara itu.

Luqman juga enggan berkongsi identiti bekas kekasihnya yang berusia 21 tahun itu.

“Kami mula berkawan sejak di sekolah menengah lagi. Kalau difikirkan balik, saya seorang yang positif. Jadi, nak sedih lama-lama pun tak guna. Hidup kita pendek saja,” katanya.

Ditanya sama ada dia atau bekas kekasihnya mencuba untuk perbaiki hubungan itu, Luqman berkata, berkawan adalah pilihan terbaik setakat ini.

“Buat masa sekarang kami berkawan saja dulu. Kami pun ada bercakap perkara ini dan ikut aturan ditetapkan. Kalau ada jodoh adalah. Tapi kami baik saja dan tidak gaduh pun. Dalam masa sama, saya perlu fokus kerjaya dan pelajaran,” katanya.

Terdahulu Luqman memuat naik status di laman Twitter yang berkongsi dia dan bekas kekasih masih berkawan rapat.

Ciapan itu mendapat lebih 4,000 ulang ciap, lebih 15,000 tanda suka dan lebih 700 komen sejak dimuat naik semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 4:40 PM