GAMBAR HIASAN
Ridzuan Abdul Rahman


EMPAT filem terbaru dari China yang sepatutnya ditayangkan di negara ini sempena Tahun Baru Cina terpaksa ditangguhkan tayangannya berikutan wabak koronavirus.

Filem terbabit ialah Vanguard, The Rescue, Detective Chinatown dan filem animasi fantasi, Jiang Zi Ya : Legend of Deification.

Filem Vanguard lakonan Jackie Chan sepatutnya mula ditayangkan esok, manakala Jiang Zi Ya : Legend of Deification pada 6 Februari ini.

GSC Movies dan MBO Cinema dalam satu kenyataan mengumumkan mengenai penangguhan filem itu dan tarikh baru tayangannya akan diumumkan kelak.

Mereka turut meminta maaf kepada penonton yang sudah menempah tiket dan meminta mereka menghubungi semula pawagam berkenaan untuk pemulangan semula wang.

“GSC Cinemas meminta maaf di atas perkara ini kerana ia kejadian tidak diduga dan di luar kawalan kami,” katanya.

Penangguhan tayangan itu juga turut dikeluarkan MBO Cinemas di Facebook mereka.

Sementara itu, pengguna aplikasi mudah alih tiket atas talian TGV Cinemas turut dimaklumkan melalui satu notis ‘pop up’ yang memaklumkan penundaan itu.

“Berikutan penularan wabak koronavirus di Wuhan, China, beberapa studio dari negara itu menangguhkan tayangan di seluruh dunia,” kata notis terbabit.

Bagaimanapun, penangguhan ini tidak membabitkan filem-filem terbitan Hong Kong dan Hollywood.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 6:58 PM