Fikry
Fikry
Najiy Jefri


PELAKON Fikry Ibrahim mengakui enggan terburu-buru mencari pasangan hidup, sebaliknya mempunyai misi lain yang lebih penting.

Fikry berkata, tahun ini dia mahu memberi fokus bukan saja kepada karier seni namun tugas barunya sebagai pengasas bersama aplikasi penghantaran makanan pertama buatan Malaysia iaitu Go Eat.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kehadiran dalam industri seni lakonan semakin mendapat tempat di hati penonton dan tawaran berlakon masih ada.

“Insya-Allah, tahun ini saya bakal terbabit dalam filem yang belum dapat dikongsikan lagi. Namun, saya sangat teruja apabila tahun ini banyak perkara indah yang bakal saya harungi antaranya menguruskan perniagaan Go Eat.

“Soal cinta dan kahwin itu saya tangguhkan dulu. Lagipun saya masih solo dan belum terfikir untuk berkahwin. Bagaimanapun, sebelum usia 30 tahun saya sudah mempunyai keluarga. Doakan yang baik-baik,” katanya.

Fikry yang ditemui pada majlis pelancaran aplikasi penghantaran makanan dan platform masakan dari rumah yang pertama, Go Eat di Damansara baru-baru ini mengakui ramai wanita cuba mendekati termasuk menghulurkan salam perkenalan melalui mesej peribadi (DM) di Instagram.

TANGGUH dulu soal cinta dan kahwin.
TANGGUH dulu soal cinta dan kahwin.

Bagaimanapun, langkah itu membuatkan dirinya tertanya-tanya sejauh mana keikhlasan mereka untuk mengenali hati budinya.

“Saya sering bertanya sejauh mana keihklasan wanita untuk mendekati saya. Adakah mereka ikhlas berkawan dengan saya atau kerana status sebagai selebriti.

“Kalau boleh, saya mahu perhubungan kami dikenali di sebalik kamera. Terima susah dan senang saya serta menghormati ibu bapa dan keluarga saya.

“Wanita itu juga perlu sedia berhadapan realiti bahawa Fikry yang mereka kenal di TV mungkin tidak sama dengan dunia realiti,” katanya.

Sementara itu, Fikry berkata, dia kini aktif berlatih dalam sukan jet ski sebagai langkah untuk mencatat nama dalam Malaysia Book Of Record (MBOR).

Fikry berkata, ketika ini dia bersama beberapa rakan lain dalam usaha mencipta rekod menunggang jet ski dari Langkawi, Kedah hingga Kelantan dan patah balik ke Langkawi.

“Pada Julai ini kami menyasarkan untuk tersenarai dalam MBOR dengan menunggang jet ski dari Langkawi ke Kelantan dan patah balik semula ke Langkawi dengan jarak 3,000 kilometer.

“Mungkin kami akan berada di atas laut dalam tempoh 10 sehingga 12 hari. Apa yang saya lakukan ini dengan matlamat bahawa saya sudah pernah melakukan suatu perkara yang sukar dan mencabar dalam hidup saya,” katanya.

Fikry berkata, dia mempunyai pelbagai hobi termasuk perlumbaan motosikal dan kereta, tetapi cepat bosan, di tambah pula risiko kemalangan.

Bagaimanapun, niat untuk mencuba sukan jet ski akhirnya membawa kepada sesuatu yang bermanfaat.

“Saya mula terfikir apa lagi yang boleh dilakukan menerusi sukan jet ski selepas setahun bermain secara suka-suka dan pernah menyertai beberapa perlumbaan. Kenapa tidak saya melakukan sesuatu untuk negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Menyentuh mengenai Go Eat, Fikry berharap dalam tempoh setahun ini, aplikasi itu dapat menjadi jenama pilihan rakyat Malaysia.

Menurut Fikry, aplikasi yang turut diterajui bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman berharap aplikasi itu dapat membantu golongan muda serta ibu tunggal menjana pendapatan tambahan.

“Selain perkhidmatan penghantaran makanan daripada restoran, Go Eat dihasilkan selepas melihat ramai peniaga menjalankan perniagaan dari rumah namun tidak mempunyai platform bagi mengembangkan perniagaan mereka.

“Go Eat dapat membantu golongan ini dengan memasarkan produk mereka dalam aplikasi ini dan orang ramai boleh membuat tempahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 6:30 AM