EZZATY lega impiannya ketika remaja tercapai. FOTO NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON Ezzaty Abdullah lega impiannya ketika remaja iaitu untuk mempunyai perniagaan sendiri dan berkeluarga sudah tercapai.

Ezzaty yang popular menerusi drama 4 Penjuru dan Suri Katriana berkata, tahun 2020 ini adalah tahun untuk mengumpul aset dan mencapai semuanya kerana usianya sudah mencecah 30 tahun.

“Ketika remaja, saya selalu fikir apabila berusia 30 tahun, saya sudah ada keluarga, kereta, perniagaan dan rumah. Alhamdulillah semua itu sudah berjaya dicapai kecuali rumah yang belum siap untuk diduduki," katanya kepada Harian Metro.

Isteri kepada pelakon Azwan Kombos dan ibu kepada Harum Dahlia, 2, ini berkata, impiannya untuk memiliki rumah sendiri pernah tergendala kerana kesukaran mendapatkan pinjaman bank.

“Ikutkan saya sudah berhasrat nak ada rumah sendiri sejak dua tahun lalu. Rumah idaman sudah ada, tapi malangnya saya gagal mendapatkan pembiayaan bank. Faham-fahamlah kerjaya sebagai pelakon tiada slip gaji dan agak sukar untuk urusan sebegini.

“Tiga kali cuba buat pinjaman tapi gagal. Namun, saya tak putus asa dan syukur cubaan kali keempat akhirnya berjaya," katanya.

Menurutnya, walaupun gagal mendapat pinjaman, dia tetap gembira dan tidak kisah untuk membayar wang pendahuluan yang tinggi untuk mendapatkan rumah ini.

“Proses pinjaman bank hanya berjaya apabila saya membuat pergisytiharan harta di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Rumah ini dalam proses pembinaan dan Insya-Allah akan siap tahun depan.

“Memang tak sabar rasanya nak tinggal di rumah sendiri kerana saya suka menghias rumah. Sekarang saya menyewa dan tak bolehlah nak hias sangat," katanya.

Bercerita berkenaan karier, Ezzaty berkata, dia teringin melakonkan watak hantu pula sekiranya diberi peluang.

“Saya suka tengok lakonan Maya Karin dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam. Kalau setakat watak manusia, itu dah biasa dilakonkan. Saya nak kaji

apa yang ada pada watak hantu dan bagaimana cara nak bawanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 4:26 PM