SCHA jalani pembedahan buang ketumbuhan Endometriosis. FOTO Instagram Scha Alyahya
SCHA jalani pembedahan buang ketumbuhan Endometriosis. FOTO Instagram Scha Alyahya
Najiy Jefri


PELAKON jelita, Scha Alyahya sekali lagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam rahim yang dikenali Endometriosis di sebuah pusat perubatan, di sini, pada Khamis lalu.

Kali pertama Scha menjalani pembedahan sama pada 2013 iaitu sebelum disahkan hamil anak sulung, Lara Alana.

Scha ketika dihubungi berkata, dia lega selepas menjalani pembedahan itu dan berharap keinginan untuk menimang cahaya mata kedua dipermudahkan.

“Ketika membuat pemeriksaan pada Disember lalu, saya dimaklumkan terdapat ketumbuhan baru dan disarankan untuk menjalani pembedahan.

“Tambahan pula, akibat ketumbuhan itu tanda-tanda lama berulang seperti sakit pinggang dan sakit perut yang melampau ketika datang bulan.

“Perkara ini tidak mengejutkan kerana difahamkan ia memang boleh berlaku lagi pada individu yang pernah mengalaminya. Antara punca adalah faktor pemakanan,” katanya.

Menurut Scha, disebabkan ketumbuhan itu menyukarkan dirinya untuk hamil.

“Meskipun ada penghidap sama boleh hamil, namun dalam kes saya ini antara punca saya susah nak hamil lagi.

“Jadi, saya berdoa selepas ini dipermudahkan proses untuk hamil kali kedua. Meskipun ada rawatan alternatif lain untuk hamil, tapi sekurang-sekurangnya saya kena buang ketumbuhan ini dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 3:30 PM