SHALMA Eliana

HAMPIR setahun menyepikan diri daripada radar industri muzik, penyanyi, Shalma Eliana kini kembali mempertaruhkan single terbaharunya, Mahukah Kamu menampilkan Fariz Jabba buat peminat yang ternanti-nanti buah tangan terbaharunya.

Meskipun mengalami kecederaan tulang tumit patah dalam insiden awal Ogos lalu, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat Shalma untuk kembali aktif sebaliknya menyiapkan video muzik single hasil ciptaan penyanyi dan komposer kelahiran Singapura, Alif.

“Saya teruja untuk melancarkan single ini berbanding kesakitan dialami ketika itu.

“Kekuatan single ini terletak pada mesej yang disampaikan. Wanita tidak perlu meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap insan yang tidak menghargai mereka dalam perhubungan,” katanya.

Lebih menarik, single terbaharunya itu tidak mengangkat tema klise dunia percintaan.

“Biarpun lagu ini menyamai pengalaman hidup lalu, namun semuanya menjadi pengajaran.

“Bagi saya, amat penting bagi wanita mempertahankan maruah mereka dan menetapkan pendirian diri.

“Ini kerana, wanita sering dianggap sebagai insan lemah sedangkan mereka tidak begitu,” katanya.

Shalma pernah tampil dengan single Janji Terindah pada 2018. Karya itu mendapat sentuhan penerbit terkenal, Malique Ibrahim.

Anak bongsu daripada empat beradik itu juga mempunyai strategi tersendiri untuk mengukuhkan namanya dalam industri iaitu dengan sentiasa mengintai peluang baru untuk mendapatkan khidmat penerbit berbakat besar seperti Alif.

Daripada sekadar meminati hasil kerja Alif, timbul idea di luar kotak daripada Shalma untuk merangsang ilham bagi melahirkan lagu Mahukah Kamu. Malah, bekerjasama dengan Alif suatu pengalaman yang tidak sukar kerana mereka berdua ibarat satu kepala.

Seiring bakat dimiliki, kepetahan Shalma dalam menuturkan kata-kata diperoleh kerana dia adalah penuntut jurusan Komunikasi dan Pengajian Media di sebuah institusi pengajian tinggi awam. Shalma dijangka menamatkan kursus peringkat diplomanya tahun depan.

Menurut Shalma, dia juga merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda suatu hari nanti.

“Sekarang, saya menggunakan kesempatan yang ada untuk belajar pengucapan awam kerana ia sesuatu yang berguna terutama untuk membantu meningkatkan karier saya sebagai penghibur.

“Untuk peringkat sarjana muda pula, saya berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang muzik, insya-Allah. Saya berharap melalui muzik, saya dapat memberi inspirasi kepada belia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 6:05 AM