UYAINA Arshad. FOTO Aziah Azmee

PENGACARA, Uyaina Arshad berharap percubaan mengintai peluang dalam dunia lakonan menerusi drama Jujurlah Nikahi Aku mendapat respons baik daripada peminat.

Bergandingan bersama Sean Lee, drama arahan Rashid Sibir itu bakal menemui penonton bermula hari ini pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Uyaina berkata, dia mengakui teruja dengan tawaran keemasan itu dan berusaha membawakan karakter itu dengan sebaik mungkin.

“Saya seronok bekerja dengan Sean dan semua pihak yang terbabit dalam penggambaran drama ini.

“Saya berharap drama ini menjadi petanda baik untuk kerjaya seni saya yang bukan saja aktif sebagai pengacara, tetapi dalam dunia lakonan.

“Saya harap drama ini mendapat maklum balas yang baik daripada penonton. Tambahan pula, ia sebuah naskhah yang sarat dengan mesej dan mencabar untuk dibawakan,” katanya.

BAWA watak sebaik mungkin. FOTO Aziah Azmee

Selain Sean, drama itu turut dibintangi Raja Azura, Zaidi Omar, Rita Nadira dan Amar Asyraf.

Tambah Uyaina, menerusi drama itu dia melakonkan karakter wanita cacat bernama Nurin.

“Dalam tidak kesempurnaan yang dikurniakan pasti ada kelebihan yang dimiliki. Walaupun dibenci ibunya sendiri kerana kecacatan yang ada, Nurin tetap berkorban demi keluarga sehingga mengorbankan cintanya kepada Alan, seorang lelaki atheist.

“Walaupun saya cacat dalam drama ini, tapi ada kelebihan iaitu berbakat dalam buat arca.

“Apa yang saya belajar, disebalik kekurangan pasti ada satu kelebihan yang Allah kurniakan. Kita sebagai hamba perlu mencari dan gunakan kelebihan itu dengan sebaiknya,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 6:30 AM