LAPORAN Harian Metro semalam.
Georgie Joseph


MESKIPUN kesihatan pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman, 55, semakin stabil, dia masih perlu menjalani proses membuang air dari badan.

Isterinya, Relawati Daud, 42, ketika dihubungi berkata, suaminya sudah menunjukkan perkembangan kesihatan positif namun belum pasti bila akan dibenarkan keluar hospital.

“Masih ada lagi lebihan air yang perlu dikeluarkan. Sebanyak 10 kilogram air lagi perlu dikeluarkan dan mungkin sehari dua lagi dijangka boleh pulang ke rumah.

"Apapun, proses pengeluaran lebihan air itu perlu dilakukan segera untuk mencegah daripada gangguan dalaman badannya.

"Jika tidak dibuang, ia boleh menyebabkan kesukaran pernafasan, mengganggu buah pinggang dan kaki bengkak,” katanya.

Menurut Relawati, Bob akan mengambil masa berehat secukupnya selepas keluar dari hospital sebelum kembali aktif untuk memulakan kuliah di Terengganu.

“Memandangkan jadual kuliahnya sudah ada, kemungkinan dia akan mulakannya pada bulan depan. Namun, itu semua bergantung kepada tahap kesihatannya.

“Kalau keadaan kesihatannya masih tidak mengizinkan, dia terpaksa tangguhkan hasrat dan tunda kuliah itu. Tapi, harapnya dia akan sihat sepenuhnya secepat mungkin,” katanya.

Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman mengalami masalah kesihatan ketika berada di Terengganu sewaktu menyertai aktiviti jelajah dakwah dan jemputan kuliah selama sebulan.

Dia kemudian dimasukkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh baru-baru ini akibat masalah buah pinggang.

Terdahulu, Bob pernah dimasukkan ke hospital sama pada 2015 dan kali terakhir pada Januari 2018 akibat masalah jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 5:30 PM