DARI kiri, YingLi Tan, Raja Mukhriz, Dr K C Lee dan pelakon, Steve Yap. FOTO Eizairi Shamsudin
Sudirman Mohd Tahir

FILEM Nyonya Ronggeng terbitan ZLK Productions bakal mencipta sejarah tersendiri apabila melaburkan RM2.8 juta bagi membina semula rumah agam berkonsepkan Baba dan Nyonya.

Banglo yang dibina di Jalan Inai, Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang dijangka siap penghujung bulan ini turut menampilkan dekorasi kaum itu bagi membangkitkan ‘mood’ yang melatari filem itu.

Penerbitnya, Datuk Seri Dr K C Lee berkata, banglo itu dibina bagi menampilkan budaya Baba dan Nyonya mengikut acuan sebenar menerusi medium filem, sekali gus membuka mata masyarakat luar mengenai kebudayaan masyarakat majmuk di negara ini.

“Pembinaan banglo ini masih dalam proses pembinaan dan setakat ini sudah 70 peratus siap. Selepas ini, kami akan memberi fokus kepada barangan perabot antik yang akan diambil daripada pembekal dari Melaka dan Pulau Pinang bagi menampilkan ciri realistik kaum Baba dan Nyonya.

“Selepas selesai penggambaran, banglo itu akan dijadikan restoran yang akan menghidangkan kepelbagaian menu masakan masyarakat Baba dan Nyonya selain menjadi tarikan baru pelancong dalam dan luar negara,” katanya pada majlis prapelancaran filem Nyonya Ronggeng, baru-baru ini.

Filem yang menelan kos RM6 juta itu menampilkan pengarah tersohor, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin selaku pengarah.

PELAKON utama, YingLi Tan bersama Steve Yap. FOTO Eizairi Shamsudin

Filem Nyonya Ronggeng bakal diterajui aktres YingLi Tan yang pernah memenangi gelaran Miss Malaysia Queen of Tourism 1996 bersama aktor Steve Yap. YingLi juga adalah penerbit bersama bagi filem ini.

Bakal memulakan penggambaran pada September ini, pihak produksi masih menjalankan sesi uji bakat bagi mencari pelakon dari luar negara seperti Jepun, China dan Thailand bagi melengkapkan jalan cerita filem ini.

Filem ini mengisahkan pengorbanan wanita bernama Rose, keturunan Baba dan Nyonya yang ingin menumpang kasih sayang daripada seorang jejaka.

Namun, kehadirannya mendatangkan kebencian kepada ahli keluarga lelaki yang dicintai, hanya kerana dia penari ronggeng.

Kisah Rose bermula apabila ibu bapanya dibunuh dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai Sook Ching di Singapura. Rose yang masih kecil dijaga dan dibesarkan oleh seorang pemilik pentas ronggeng.

Perjalanan hidup Rose dipaparkan secara berkala dengan latar belakang beberapa kejadian dari 1942 hingga penghujung 1970-an seperti pembunuhan beramai-ramai Sook Ching, kemerdekaan Tanah Melayu 31 Ogos 1957 dan Tragedi 13 Mei 1969.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 7:00 AM