NAUFA. FOTO Zunnur Al Shafiq


MEMINATI kerjaya muzik sejak di bangku sekolah, pendatang baru Naufa Tieha tidak menyangka impian yang sudah lama dipendamnya menjadi kenyataan.

Mempertaruhkan lagu solo pertama berjudul Tiada Untukmu sebagai salam perkenalan terhadap industri nyanyian tanah air, Naufa berharap kehadirannya diterima ramai.

Pemilik nama sebenar Nor Fatihah Taib, 24, berkata, sejak kecil dia banyak menyertai pertandingan nyanyian sebagai percubaan untuk memasuki industri seni muzik.

“Saya minat muzik sejak kecil. Tambahan pula, ayah seorang penyanyi dan selalu membuat persembahan dalam majlis korporat.

“Bermula dari situ, tak sangka saya pun mempunyai bakat nyanyian dan sering menyertai banyak pertandingan nyanyian. Malah, ayah juga bertindak sebagai guru vokal saya hingga sekarang.

“Dia (ayah) juga antara individu yang tidak putus memberi sokongan dan sentiasa mendidik saya menjadi penyanyi yang terbaik.

HARAP lagu Tiada Untukmu melekat di hati pendengar. FOTO Zunnur Al Shafiq

“Jujur saya tak sangka impian untuk bergelar penyanyi menjadi kenyataan. Meskipun perjalanan ini bukan mudah, tetapi setiap liku cabaran itu berjaya saya harungi,” katanya.

Tambah Naufa, dia yang kini bernaung di bawah pengurusan Map Music berharap lagu Tiada Untukmu itu menerima sambutan baik daripada pendengar.

“Lagu dan lirik hasil ciptaan komposer El Hadam ini mengisahkan seorang wanita yang sering disakiti kekasihnya dan tidak serius dengan cinta.

“Akhirnya, wanita itu memilih untuk melupakan bekas kekasihnya dan tidak akan kembali lagi dengan cinta lama,” katanya.

Naufa berkata mesej ingin disampaikan adalah hargai seseorang yang ikhlas mencintai kita kerana apabila individu itu beralih hati, semestinya tiada lagi tempat atau peluang kedua.

Mengakui sebaik melangkah dalam industri nyanyian banyak liku-liku sukar perlu ditempuhinya, Naufa bagaimanapun optimis untuk mengembangkan kerjaya nyanyiannya.

“Saya sedar kerjaya ini bukan tempat untuk bermain-main atau berseronok sebaliknya perlu fokus untuk membina nama dan menggilap bakat.

“Kini siapa saja boleh bergelar penyanyi kerana sudah ada banyak platform untuk menonjolkan bakat. Jadi saya perlu berkerja keras dan berusaha.

“Saya harap sangat lagu pertama ini melekat di hati pendengar, sekali gus mendapat permintaan tinggi rakyat Malaysia,” katanya.

Tambah Naufa, dia juga kini mempersiapkan dirinya untuk bersedia dari segi fizikal dan mental supaya tidak terkejut.

“Banyak aspek perlu diberi perhatian. Sebagai contoh soal penampilan diri, saya perlu pastikan penampilan digayakan seiring fesyen terkini.

“Selain itu, saya juga perlu memperbaiki mutu suara supaya tidak terlihat main-main atau tangkap muat. Saya nak kerjaya ini menjadi kerana pernah berdepan beberapa kegagalan pada masa lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 7:30 AM