IKA ketika di kuarantin di HSB.
IKA ketika di kuarantin di HSB.
Syafil Syazwan Jefri


“ALHAMDULILLAH. Saya negatif daripada jangkitan wabak Koronavirus (2019-nCov),” kata penyanyi, Ika Mustafa ketika dihubungi Harian Metro sebentar tadi.

Ika atau nama sebenarnya Nursyafiqah Mustafa, 22, berkata, dia juga akan dibenarkan pulang malam ini.

“Sekarang, doktor perlu uruskan beberapa perkara untuk saya seperti ubat dan sebagainya sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

“Doktor juga ada memberikan surat cuti kepada saya. Ia bagi membolehkan saya rehat dengan tenang.

“Saya akan berehat selama seminggu di rumah sebelum kembali bekerja dan uruskan beberapa perkara berkaitan kerjaya seni,” katanya.

Sehubungan itu, Ika turut mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat yang merawatnya sepanjang tempoh kuarantin.

“Saya nak berterima kasih kepada semua pegawai perubatan yang mengambil risiko dan bertungkus lumus menjaga saya sepanjang tempoh kuarantin di Hospital Sungai Buloh (HSB) ini.

“Jasa mereka sangat besar, bukan saja kepada saya, tetapi juga buat semua pesakit lain yang dikuarantin di sini,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan kesihatannya, Ika memaklumkan bahawa demamnya semakin berkurangan.

“Alhamdulillah, demam dan selesema saya semakin berkurangan. Inilah yang kuatkan lagi keyakinan dalam hati saya bahawa tidak dijangkiti Koronavirus. Ia hanya kebetulan,” katanya.

Terdahulu, Ika terbang ke Haikou, China pada 25 Januari lalu bersama 46 warga negara itu dan dalam pesawat sama, ada warga emas berusia 60-an, dipercayai warga Wuhan yang tidak sihat.

Ika yang kembali ke tanah air pada hari yang sama, bagaimanapun mula menunjukkan simptom seperti demam, batuk dan selesema.

Bimbang keadaan kesihatannya, keluarga membawa Ika membuat pemeriksaan di klinik dan kemudiannya dirujuk ke HSB untuk dikuarantin selama tiga hari.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 11:16 PM