MARAJ bersama adiknya Nicki Minaj. FOTO Instagram
MARAJ bersama adiknya Nicki Minaj. FOTO Instagram
Agensi

NEW YORK: Jelani Maraj, 40, abang sulung kepada penyanyi terkenal antarabangsa Nicki Minaj dijatuhi hukuman penjara 25 tahun atas kesalahan merogol kanak-kanak, lima tahun lalu, lapor akhbar tempatan.

Hakim Mahkamah Long Island Robert McDonald, menjatuhkan hukuman itu semalam selepas Maraj disabitkan kesalahan merogol dan melakukan jenayah itu dua tahun lalu.

Dia didapati bersalah selepas menjalani perbicaraan lebih sebulan atas serangan seksual dan membahayakan kebajikan seorang kanak-kanak.

Pada 2017, Associated Press (AP) melaporkan kejadian jenayah itu dilakukan di rumah lelaki itu di Long Island.

Maraj ditahan pada 2015 dan dibebaskan selepas itu dengan ikat jamin AS$100,000 (RM408,450).

Bagaimanapun, Minaj tidak memberi sebarang reaksi sama ada dia membayar jaminan untuk abangnya pada tahun berkenaan.

Menurut laporan People’s, bukti menunjukkan Maraj mula menyerang mangsanya ketika usia kanak-kanak itu 11 tahun sebelum merogolnya antara April dan November 2015.

Kanak-kanak itu yang berusia 14 tahun pada 2017, dalam keterangan mendakwa Maraj merujuknya sebagai ‘bonekanya’ dan jika menolak, lelaki itu melakukan serangan fizikal.

Remaja itu memberi keterangan secara terperinci mengenai gangguan seksual dilakukan terhadapnya secara kerap empat kali seminggu, kadangkala dua kali sehari.

Kebanyakan perlakuan Maraj itu ketika hanya dia dan remaja itu bersendirian di rumah.

Pendakwa raya memberitahu bukti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang terdapat pada seluar tidur remaja itu sepadan dengan Maraj.

Adik bongsu remaja itu turut memberi keterangan dalam perbicaraan itu sebagai saksi satu daripada kejadian serangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 12:52 PM