RAQIM, Pengurus Rangkaian Kandungan Jenama Radio Melayu Astro, Nazri Noran (kanan), hos Anugerah Meletop, Jihan Muse dan Nabil Ahmad pada sidang media Anugerah Meletop ERA 2020 di The Starling Mall, Damansara. FOTO AZIAH AZMEE
Syafil Syazwan Jefri


ANUGERAH Meletop Era 2020 (AME2020) yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 20 April ini menggugurkan tiga kategori iaitu Program Radio Meletop, Penyampai Radio Meletop dan Artis Lawak Meletop.

Ia digantikan dengan tiga kategori baru iaitu Artis Versatil Meletop, Influencer Meletop dan Top Top Meletop (berkumpulan/duo).

Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro Raqim Ahmad berkata, pengguguran tiga kategori itu adalah untuk memberi laluan kepada tiga kategori baru yang diwujudkan.

"Kuota untuk jumlah semua kategori adalah 15. Jadi, tiga kategori yang digugurkan itu adalah untuk memberi laluan kepada tiga kategori baru yang lebih relevan dan sejajar dengan industri hiburan tempatan," katanya dalam sidang media Anugerah Meletop Era 2020 di Petaling Jaya, hari ini.

Menurut Raqim, kewujudan kategori baru iaitu Artis Versatil Meletop adalah untuk membuka peluang kepada mana-mana selebriti untuk mengembangkan bakat mereka.

"Contohnya, pelawak sekarang bukan hanya pelawak kerana mereka juga boleh terbabit dalam pelbagai cabang seni. Jadi, sekiranya mereka berbakat dalam dua cabang seni, mereka boleh tersenarai dalam kategori ini.

"Kami tak boleh teruskan dengan lebih daripada 15 kategori memandangkan itu akan memberi kesan kepada durasi program dan sebagainya," katanya.

Selain tiga kategori baru itu, Raqim juga memaklumkan akan ada satu lagi kategori tambahan yang dimasukkan dalam kategori anugerah khas iaitu Anugerah Epik Meletop berdasarkan pilihan juri.

AME2020 juga masih menampilkan Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai pengacara.

Selain tiga kategori baru, kategori lain adalah Lagu Meletop Era, Penyanyi Meletop Era, Grup/Duo Meletop Era, Filem Meletop, Bintang Filem Meletop, Drama Meletop, Program Meletop, Pelakon Meletop, Hos Meletop, Artis Baharu Meletop, Couple Meletop, Fesyen Meletop dan Si Cilik Meletop.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 7:29 PM