MIMI Fly tidak lagi bersama One Nation Emcees. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Syafil Syazwan Jefri

ANGGOTA kumpulan One Nation Emcees (ONE), Sabhi Saddi mengesahkan bahawa salah seorang anggota kumpulan itu, Mimi atau lebih dikenali sebagai Mimi Fly tidak lagi bersama mereka.

Sabhi ketika dihubungi berkata, keputusan itu dibuat Mimi dua minggu selepas mereka selesai dengan program Gegar Vaganza musim keenam (GV6) tahun lalu.

"Mimi sudah tak bersama kami. Daripada apa yang saya tahu, dia ingin meneruskan karier solonya dan pihak pengurusannya juga sudah ada perancangan untuknya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sabhi, dia dan dua lagi anggota ONE iaitu Jojoe Fly dan Kozae Murtaza menghormati keputusan Mimi dan mereka akan teruskan kumpulan hip hop itu.

"Kami tak halang mahu pun menyingkirkannya. Kami hormat dengan keputusan Mimi dan kami sentiasa mendoakan agar kerjaya seninya berlangsung dengan baik selepas ini," katanya.

Menurutnya, dia dan dua rakannya tidak mahu usaha mereka untuk kembali menempatkan nama di dalam industri muzik umpama satu usaha yang sia-sia.

"Mungkin sedikit sukar untuk kami bertiga bergerak tanpa Mimi kerana peminat dan penyokong kami semuanya sudah biasa dengan kewujudan empat anggota dalam ONE.

"Lagipun, saya tak mahu usaha kami selama ini untuk membuat kemunculan semula dan menempatkan nama kami dalam industri muzik seperti sia-sia. Tak semua orang dapat peluang untuk beraksi di pentas GV dan rasanya ia adalah satu platform terbaik," katanya.

Sabhi juga memaklumkan bahawa ONE akan menampilkan beberapa penyanyi wanita sebagai penampilan khas setiap kali muncul membuat persembahan.

"Insya-Allah, pada 16 Februari ini kami akan membuat persembahan di Singapura dan kami akan tampilkan penyanyi wanita sebagai penampilan khas. Siapa penyanyi itu, biarlah rahsia.

"Itu akan menjadi persembahan pertama kami tanpa Mimi dan kalau boleh, setiap kali membuat persembahan kami akan tampilkan penyanyi wanita. Ini kerana kami nak kekalkan identiti ONE yang ada seorang anggota wanita," katanya.

Sementara itu, Mimi ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara ini.

"Saya tak mahu komen apa-apa buat masa sekarang. Yang pasti, saya tidak lagi bersama dengan ONE. Saya akan maklumkan sekiranya ada sebarang maklumat terkini selepas ini," katanya.

ONE adalah kumpulan hip hop popular tanah air yang aktif sejak 2008.

Anggota asal ONE ialah Mimi, Jojoe dan Kozae dan Sabhi mula menyertai mereka ketika kumpulan itu menyertai program GV6.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 5:28 PM