SUKAR tolak tawaran berlakon teater.
SUKAR tolak tawaran berlakon teater.
Najiy Jefri


TIDAK mahu anak dijaga pengasuh, pelawak popular Abam Bocey meminta isterinya, Nor Hidayah Mohd Ali meninggalkan kerjayanya dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, berkata, dia berbuat demikian kerana mahu anak mereka, Syed Uthman Hamzah yang kini berusia lapan bulan dibesarkan di bawah jagaan mereka.

“Sebaik saja anak lahir tempoh hari, saya meminta isteri untuk berhenti kerja demi menjaga anak kami.

Jadi, apa yang saya lakukan ialah saya ‘beli’ gaji dia. Saya berhentikan dia kerja dan saya bayar gaji yang sepatutnya dia peroleh setiap bulan.

“Sebelum ini dia bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta. Dia terima keputusan itu kerana dia juga mahu menjaga anak sepenuh masa,” katanya pada sidang media teater Korupsi Dewan Semandung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Abam, wang yang diberikan itu untuk kegunaan peribadi isterinya tidak termasuk keperluan nafkah lain.

“Wang yang saya berikan itu saya tak pernah ambil tahu. Terpulang dia nak beli apa. Saya hanya deposit dalam akaunnya setiap bulan. Itu duit dia dan hak dia.

“Bab nafkah dan keperluan lain, itu tak termasuk kerana saya beri lain. Dia juga seronok dengan cara itu dan tiada sebarang masalah,” katanya.

Menurut Abam, dia lebih suka jika anaknya dibesarkan dan mendapat didikan sepenuhnya oleh keluarga sendiri.

“Saya tak nak kalau anak dibesarkan di rumah pengasuh dia akan terbawa-bawa perangai anak orang lain sedangkan kami tak ajar. Saya juga nak anak yang dibesarkan mendapat perhatian secukupnya. Saya pun sejak berkahwin berat hati nak tinggalkan rumah sebab nak meluangkan masa dengannya.

“Anak ini membesar dengan cepat. Saya tak nak lepaskan setiap saat itu kerana tak boleh nak ulang kembali,” katanya yang berkahwin dengan Nor Hidayah pada 8 Disember 2017.

Ditanya adakah dia bercadang untuk menambah zuriat, Abam berkata, dia sentiasa bersedia dan mahu anak lagi.

“Saya memang nak anak ramai dan tidak mahu merancang kerana bimbang kalau merancang nanti tak melekat pula. Kalau ada rezeki menimang cahaya mata dalam waktu terdekat saya okey saja,” katanya.

Ditanya mengenai pembabitannya dalam teater Korupsi Dewan Semandung yang bakal dipentaskan di Istana Budaya bermula 28 Februari depan, Abam berkata, dia sukar menolak tawaran berlakon teater.

“Kalau dapat tawaran berlakon teater memang susah nak tolak kerana saya suka dan teruja untuk berlakon teater, lebih-lebih lagi di Istana Budaya.

“Entah kenapa saya suka sangat berlakon teater. Walaupun ada cabaran tersendiri, tapi saya akan mengalah kalau ditawarkan berlakon teater,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 7:30 AM