PENGURUS OG Offgrid Projects, Idi Qalif Taha (dua dari kanan) bersama Man Kidal, Ramli dan Hafiz (kiri) FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENGURUS OG Offgrid Projects, Idi Qalif Taha (dua dari kanan) bersama Man Kidal, Ramli dan Hafiz (kiri) FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Ridzuan Abdul Rahman


TIDAK sah menyebut nama kumpulan Lefthanded tanpa mengaitkan dengan Datuk Ramli Sarip.

Ini kerana Ramli adalah individu yang bertanggungjawab membawa kumpulan yang ketika itu dianggotai Nash (penyanyi), Man Kidal (gitar), Samad (gitar), Yan (bass) dan Man Dayak (dram) menjadi artis rakaman Warner Music.

Sentuhan Ramli sebagai penerbit album Lefthanded pada era 1980-an turut berjaya meletakkan nama kumpulan ini bermain di bibir peminat seterusnya kekal bertahan sehingga sekarang.

Sempena empat dekad penubuhannya sejak 1979, Lefthanded akan beraksi dalam Konsert Lefthanded Seruan X Datuk Ramli Sarip pada 7 Mac ini.

Menariknya, konsert ini akan berlangsung di Capitol Theatre, Singapura yang dibina sejak 1929 dan amat sinonim dengan muzik rock.

Man Kidal berkata, banyak faktor yang membuatkan mereka teruja untuk menjayakan konsert ini.

MAN Kidal dan Ramli bangga diberi penghormatan menjayakan konsert bersama. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MAN Kidal dan Ramli bangga diberi penghormatan menjayakan konsert bersama. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

“Pertama, kami diberi penghormatan untuk meraikan ulang tahun ke-40 Lefthanded. Kedua, Lefthanded sudah 20 tahun tak buat persembahan di Singapura. Jadi, kami akan merangka satu konsep persembahan menarik antaranya segmen tribute buat Allahyarham Samad dan Man Dayak,” katanya.

Menurutnya, gabungan dengan Ramli adalah sesuatu yang menarik dan mengimbau nostalgia.

“Kami tak pernah beraksi dengan Ramli walaupun dia pernah bersama Lefthanded dalam satu album. Kami bangga dapat bersama beliau yang banyak menaikkan nama Lefthanded. Kami dan Ramli akan menjanjikan persembahan yang akan memuaskan hati peminat sepanjang empat dekad dalam industri muzik,” katanya.

Man berkata, Yan tidak dapat bersama Lefthanded dan tempatnya digantikan pemuzik lain.

“Yan ada komitmen lain dan belum bersedia untuk Lefthanded. Tempatnya akan digantikan oleh Fly. Pemuzik lain ialah Ritz Metalasia (gitar) dan Roza Rio (keyboard), manakala Hafiz iaitu anak Man Dayak akan ambil alih tempat arwah bapanya,” katanya.

Sementara itu, Ramli menyifatkan peluang membuat persembahan bersama Lefthanded adalah penghormatan buatnya.

“Ada banyak kenangan saya bersama Lefthanded. Kami pernah lalui zaman susah dan menghasilkan lagu bersama-sama. Saya kenal Lefthanded dan mereka sebuah kumpulan rock tapi muzik mereka bukanlah bingit.

“Satu penghormatan besar apabila saya diajak bersama-sama membuat persembahan. Inilah kekuatan muzik apabila dapat menyatukan kita semua,” katanya.

Konsert yang akan berlangsung selama dua setengah jam ini akan diisi dengan lagu popular Lefthanded antaranya Seruan, Keadilan, Lanun, Debunga Wangi, Ku Di Halaman Rindu dan Tiada Lagi Kidungmu.

Tiket bagi menyaksikan konsert ini bermula serendah S$98. Maklumat lanjut mengenai konsert ini boleh didapati di www.ogoffgrid.com.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 6:01 AM