X
HENRY berketurunan Iban-Inggeris. FOTO NSTP
HENRY berketurunan Iban-Inggeris. FOTO NSTP
Georgie Joseph


PELAKON Henry Golding mengakui sudah terlalu letih untuk menjawab soalan mengenai cukup kuat atau tidak darah Asia dalam dirinya setiap kali ditanya dalam mana-mana temubual dengan media antarabangsa.

Henry, 35, yang berketurunan Iban-Inggeris berkata, persoalan sebegitu tidak akan berkesudahan dan tiada jawapan mampu memuaskan hati mana-mana pihak.

“Saya membesar di sebuah kawasan hutan di Borneo serta datang dari keturunan etnik yang paling tua di dunia. Apa lagi yang saya harus jelaskan?

“Persoalan sama ada cukup Asia atau tidak seseorang itu sememangnya akan terus berpanjangan. Bagilah keterangan panjang pun belum tentu menjawab kemusykilan mereka. Ini dilema yang dihadapi warga Asia yang lahir dan berkeluarga di Amerika Syarikat, warga Asia yang berhijrah ke sana, perbualan sebegini memang tidak akan berkesudahan,” kata pelakon utama filem Hollywood, Crazy Rich Asians itu.

Henry yang dilahirkan di Betong, Sarawak juga mengakui sangat bersyukur memiliki campuran budaya selain nilai ketimuran masih pekat dalam dirinya.

“Saya tahu kepentingan kedua elemen dan sisi itu. Tanpa darah Asia dalam diri, saya tidak punya jati diri dan struktur dalam membuat keputusan, nilai budaya mahupun hormat,” katanya.

Selain Sarawak, Henry dan keluarganya pernah tinggal selama lima tahun di Terengganu sebelum berpindah ke England sewaktu berusia lapan tahun.

Dia kemudian kembali ke Malaysia pada usia 21 tahun untuk memulakan kerjaya seninya.

Mula mencipta nama di Hollywood sejak 2018, terbaru Henry turut membintangi filem The Gentlemen yang akan memasuki panggung pada 13 Februari.

Tidak ketinggalan, dia turut menerajui filem Snake Eyes yang dijangka ditayangkan Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 5:46 PM