ZARA Zya.
ZARA Zya.


"SAYA okey saja kepada peminat yang doakan agar kami bersama," kata pelakon, Zara Zya mengenai keterujaan peminat drama Seadanya Aku yang ingin melihat dia dan aktor, Azlee Khairi disatukan dalam dunia realiti.

Zara berkata, dia mengakui terbuka untuk mengenali sesiapa saja memandangkan dia kini sudah kembali solo.

"Pintu hati saya terbuka untuk sesiapa saja, tapi tidaklah membuka ruang itu seluas-luasnya untuk orang luar mengenali saya secara dekat.

"Saya masih perlu pilih yang terbaik untuk dijadikan kawan. Namun buat masa ini soal cinta bukanlah hal yang menjadi keutamaan sebaliknya saya sibuk dengan kerja," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zara, peminat ingin melihat mereka disatukan kerana masih menyukai watak mereka dalam drama yang pernah menjadi sebutan sebelum ini iaitu Love You Mr Arrogant.

"Saya faham daripada dulu peminat memang nak saya dan Azlee disatukan tapi hakikatnya mana boleh begitu saja.

"Saya ambil setiap komen peminat itu sebagai satu perkara yang baik kerana apabila mereka masih terus memperkatakan mengenai kami maknanya mereka masih sayang dan ambil tahu," katanya.

Terdahulu kisah Zara dan Azlee menjadi sebutan gara-gara keduanya saling berbalas komen ‘mesra’ di IG.

Perkara itu menimbulkan pertanyaan dalam kalangan peminat yang sememangnya mahukan mereka bersama sebagai pasangan.

Zara kembali solo selepas ikatan pertunangannya dengan pelakon Hafreez Adam yang diikat pada 12 Oktober lalu, terlerai sebulan kemudian.

Zara dan Azlee yang kini bergandingan dalam drama Seadanya Aku pernah digosip bercinta ketika digandingkan dalam drama Love You Mr Arrogant pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 4:51 PM