AFIF Tarmizie. FOTO Badlyshah
AFIF Tarmizie. FOTO Badlyshah
Georgie Joseph

KELANGSUNGAN kerjaya seni penyanyi, Afif Tarmizie sememangnya tidak pernah putus. Biarpun namanya belum gah dalam industri hiburan, ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang sebagai anak seni.

Afif atau nama penuhnya Ahmad Aliff Afif Tirmizie, 34, kini seronok melebarkan sayap dalam penghasilan lagu runut bunyi (OST) pula.

Terbaru, dia diberi kepercayaan menghasilkan OST filem Escape arahan Ikhwansha Hazer berjudul Sendiri yang akan ditayangkan bulan depan. Dia turut bergandingan dengan penyanyi rap Kmy Kmo dalam lagu itu.

Menurut Afif, peluang diberikan itu adalah rezeki apatah lagi lagu itu mendapat permintaan untuk dijadikan OST. Baginya, itu sudah membuktikan sisinya sebagai komposer diakui berkualiti.

“Rezeki untuk saya buat lagu OST nampaknya semakin melekat sekarang ini. Disebabkan itulah juga saya kini banyak fokus untuk menghasilkan lagu sebegitu.

“Syukur juga apabila mendapat kepercayaan menghasilkan lagu untuk filem Escape. Paling menyeronokkan apabila lagu asal tulisan saya itu sebenarnya amat menepati jalan cerita filem terbabit,” katanya.

Afif mengakui, perkara itu sekali gus memberikan kelebihan buatnya untuk tampil dengan interpretasi tersendiri menerusi lagu terbabit.

“Alhamdulillah, pengarah sukakan lagu ini sebaik saya memperdengarkan kepadanya. Bagaimanapun, saya masih perlu membuat perubahan mengikut interpretasi yang sesuai dengan filem.

AFIF syukur rezeki sebagai komposer menjadi. FOTO Badlyshah
AFIF syukur rezeki sebagai komposer menjadi. FOTO Badlyshah

“Lagu Sendiri berkisar mengenai seseorang yang hilang arah tujuan dan tercari-cari mengenai dirinya. Dalam itu, dia terkapai-kapai mendapatkan jawapan yang tidak pasti.

“Lirik lagu ini lebih kurang dengan jalan cerita Escape. Dalam filem ini, ia mengisahkan seseorang yang cuba mencari jalan keluar demi melepaskan diri,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan terbaru, Afif kini giat mengukuhkan kerjayanya sebagai guru vokal. Selain itu, Afif juga baru menyertai studio guru vokal terkenal, Cikgu Shafi sebagai tenaga pengajar.

Menurutnya, pekerjaan itu memberi kepuasan yang tidak terhingga buatnya. Bukan sekadar menjadi tenaga pengajar, malah dia banyak mendapat ilmu baharu secara peribadi sebagai penyanyi.

“Sebenarnya, saya pun sudah mula mengajar vokal sejak beberapa tahun yang lalu. Peluang itu terbuka selepas Hazama meminta saya mengajar protegenya yang bertanding dalam program Mentor Milenia sejak musim pertama.

“Dari situ, saya kemudian terus aktif dan terbaru menyertai studio Cikgu Shafi pula. Sememangnya ia peluang yang berharga buat saya disebabkan mendapat kepercayaan daripada bukan calang-calang nama.

“Memang sangat seronok apabila dapat berkongsi ilmu baharu kepada pelajar saya. Namun, paling memuaskan hati adalah apabila melihat mereka berjaya menunjukkan hasil terbaik dalam pembelajaran,” katanya.

Dalam pada itu, Afif yang kini bergerak solo menjelaskan dirinya masih lagi anggota Nukilan. Bagaimanapun, kumpulan yang turut dianggotai Kirana, Agenda dan Kelana, katanya hanya aktif mengikut projek.

“Nukilan masih ada, tapi kami semua hanya akan menghasilkan lagu menerusi projek yang ditetapkan Malique. Bagus juga kalau begitu disebabkan masing-masing pun ada kerjaya solo sendiri.

“Bukan mudah untuk membahagikan masa apabila terikat dengan komitmen tersendiri. Maka, sekarang ini kami putuskan untuk fokus pada karya solo dahulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 7:00 AM