ABAM pergi mengadap Ilahi di kediamannya di Kampung Sungai Salak, Batu 10, Jalan Gombak pada jam 7.15 pagi semalam selepas mengalami demam selama dua hari. FOTO NSTP
ABAM pergi mengadap Ilahi di kediamannya di Kampung Sungai Salak, Batu 10, Jalan Gombak pada jam 7.15 pagi semalam selepas mengalami demam selama dua hari. FOTO NSTP
Suraya Roslan


“TOLONGLAH pakcik, saya nak masuk tengok kubur arwah Abam.

“Selama ini dia yang menampung persekolahan anak saya,” demikian rayuan seorang wanita kepada penggali kubur yang dikenali sebagai Khairuddin, 51, supaya membenarkan dia melawat pusara pelawak terkenal, Abam Bocey, malam semalam.

Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, pergi mengadap Ilahi di kediamannya di Kampung Sungai Salak, Batu 10, Jalan Gombak pada jam 7.15 pagi semalam selepas mengalami demam selama dua hari.

Menurut Khairuddin, dia didatangi wanita berusia lingkungan 40-an bersama anak perempuannya berusia belasan tahun yang menunggang motosikal kira-kira jam 8 malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

“Selesai bacaan talkin, saya memberi masa 10 minit kepada waris dan rakan untuk berada di pusara arwah Abam sebelum menutup lampu dan meminta sesiapa yang ingin melawat kubur arwah supaya datang pagi esok (hari ini).

“Selepas menutup semua lampu dan pintu pagar, saya didatangi seorang wanita dan anaknya yang merayu supaya membenarkan mereka menziarahi pusara Abam,” katanya.

Khairuddin berkata, rayuan wanita itu meruntun hatinya walaupun pada mulanya dia meminta mereka supaya datang semula melawat keesokan pagi.

“Tetapi wanita berkenaan tetap merayu supaya saya membenarkannya masuk walaupun sekejap. Saya memberitahu wanita ini supaya datanglah esok, kubur ini sampai kiamat ada.

“Tetapi dia berkeras untuk masuk sebelum saya membenarkan dan menunjukkan kubur arwah,” katanya.

Menurutnya, dia menunjukkan jalan ke kubur arwah Abam sebelum menemani dua beranak terbabit berikutan keadaan ketika itu sudah gelap.

“Wanita itu mengambil masa 20 minit di pusara Abam dan saya dapat melihat kesedihannya yang ketika itu sedang berdoa.

“Selesai melawat pusara, saya bertanyakan apa hubungan arwah dengannya dan dia menceritakan dia bukan waris kepada Abam tetapi mengakui dia dan anak-anak banyak menerima sumbangan daripada arwah, malah Abam yang menyekolahkan anak dan menampung keluarganya,” katanya.

Menurutnya, dia terus terdiam dan sebak mendengar cerita wanita itu dan terdetik dalam hatinya siapa lagi yang dibantu arwah sepanjang hayatnya.

“Selepas itu wanita berkenaan terus pulang dan saya tidak sempat mengambil nombor telefon atau maklumat lain. Pagi tadi (hari ini) saya menunggu kedatangan wanita berkenaan di kubur tetapi tiada,” katanya.

Sementara itu, penceramah bebas Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek turut menceritakan kebaikan arwah Abam yang ketika hayatnya suka bersedekah, mendekati ilmuan agama dan taat kepada ibunya.

“Banyak pengajaran dapat diambil daripada kematian tiga pelawak terkenal tanah air iaitu arwah Abam, Mr Os dan Pak Yus.

“Ketiga-tiga mereka adalah pelawak tetapi ada kebaikan mereka disembunyikan ketika hayat yang ramai orang tidak tahu.

“Sempat juga beberapa tahun lepas saya solat jenazah untuk arwah Mr Os, saya menguruskan jenazah dia sangat mudah dan begitu juga arwah Pak Yus kerana mereka ini suka bersedekah.

“Sedekah adalah jalan paling mudah ke syurga asalkan ikhlas kerana Allah.

“Ini kerana sebelum sedekah sampai kepada penerima, sedekah itu sampai dulu kepada Allah, itulah ‘power’ bersedekah dan apa yang berlaku kepada arwah Abam adalah dia juga suka bersedekah,” katanya.

Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkata, sepanjang menguruskan jenazah arwah Abam, banyak kisah kebaikan yang didengari mengenai arwah.

“Arwah Abam dikatakan anak yang cukup taat pada ibunya dan selalu bantu adiknya.

“Lautan manusia memenuhi segenap penjuru Masjid Gombak Utara sedangkan Abam Bocey bukan seorang ulama atau tokoh politik disegani ramai.

"Arwah hanyalah seorang penghibur yang berjaya mendapat tempat di hati kita semua.

“Paling mengharukan di sebelah rumah arwah, ada sebuah madrasah tahfiz dan arwah dikatakan antara penyumbang tegar madrasah dan masjid di situ.

"Ketika saya mewudukkan jenazah arwah, kelihatan seri di wajahnya. Allahuakbar. Sungguh hebat insan 'biasa-biasa' ini," katanya.

Menurutnya, solat jenazah Abam juga dihadiri ramai ulama dan asatizah serta sepanjang hari cuaca mendung sejak pagi seolah hari hendak hujan dan mentari tidak menampakkan cahayanya.

-tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 7:32 PM