ANTARA penggiat seni yang berniaga di Pasar Tani Taman Melawati. Mustaffa Kamal
Ridzuan Abdul Rahman

MEMBERI peluang artis berniaga sebagai pendapatan tambahan. Itulah usaha yang digerakkan oleh Koperasi Seni Warisan Berhad (Koseniwan) bagi membantu golongan artis terutama dikategorikan otai, yang bernaung di bawahnya.

Sabtu dan Ahad lalu, Koseniwan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) buat julung kalinya bekerjasama menganjurkan Program Pasar Tani Bersama Artis & Penggiat Seni yang berlangsung di Pasar Tani Taman Melawati dan Pasar Tani Stadium Shah Alam.

Artis yang terbabit dalam program perintis bermula seawal jam 6.30 pagi hingga 12 tengah hari ini ialah pelakon Abon, Aznah Hamid, Wan Julia, Cef Liza, penerbit drama Yong Rahimah, penyanyi Intan Maya, pekerja seni Salim Saifuddin dan pengarah yang juga Ahli Kehormat Koseniwan, Datuk Zulkifli M Osman.

Pendekatan segar turut diambil apabila pemuzik Space Buskers diundang bagi memeriahkan suasana sekitar sekali gus menimbulkan keceriaan dalam kalangan pengunjung.

Biarpun awalnya terkejut dengan kehadiran barisan artis ini, mereka terhibur dengan gelagat artis terbabit dan turut membeli barangan yang dijual.

Zulkifli berkata, koperasi ini ditubuhkan dengan objektif mahu membantu serta memperkasa ekonomi penggiat seni yang bernaung di bawahnya.

ANTARA produk yang dijual di Pasar Tani Taman Melawati. FOTO Mustaffa Kamal

“Koseniwan ditubuhkan sejak lima tahun lalu dan ahlinya ada sekitar 300 orang. Jumlah ahli mulanya tak ramai, tapi apabila dibuat publisiti meluas barulah ramai yang berminat menyertainya. Program ini juga sebenarnya bermatlamat untuk mempromosikan Koseniwan kepada orang ramai.

“Kami dapati ramai ahli dalam kalangan anak seni mempunyai perniagaan sendiri dan mengapa tidak kami jadikan pasar tani sebagai platform untuk mereka menjana pendapatan sampingan,” katanya.

Menurut Zulkifli, menerusi kerjasama Fama, mereka berjaya mendapatkan 10 gerai untuk diberikan kepada ahlinya.

“Sebenarnya lokasi berniaga tidak tetap kerana selepas Taman Melawati dan Shah Alam, kami akan bergerak ke lokasi lain pula seperti Bangi, Semenyih dan lain-lain. Kami kena bertukar lokasi untuk memberi keadilan kepada peniaga tetap di sini. Mereka mencari rezeki di sini.

“Kami sebenarnya bukan merebut rezeki atau peluang orang lain untuk berniaga. Lagipun antara objektif lain kami juga ialah untuk menarik pengunjung ke pasar tani,” katanya.

Zulkifli menafikan hanya artis dikategorikan kurang popular yang berniaga kerana nama popular juga bakal terbabit nanti.

“Ikutkan ramai artis gred A menyertai kami dan berminat turut serta. Tapi ia bergantung kepada jadual kerja dan kelapangan mereka.

“Insya-Allah apabila ada masa nanti, mereka pasti akan buka gerai jualan. Kami juga perlu amalkan sistem penggiliran untuk membolehkan semua artis dapat peluang berniaga.

“Projek dengan Fama ini adalah permulaan. Selepas ini, ada lebih banyak platform yang bertujuan menjana pendapatan akan kami sediakan untuk artis dan penggiat seni,” katanya.

Menurutnya, mereka kini dalam perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Pelancongan dan merancang untuk membuka Bazar Ramadan dan program khas selepas Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 7:30 AM